Gambar taufan di China ini disunting dengan dakwaan salah berlaku ketika 'ribut di Miri'

Gambar yang diambil ketika Taufan Yagi melanda selatan China pada bulan September telah disunting dan dikongsi dengan dakwaan palsu bahawa ia menunjukkan seluar dalam terbang ditiup angin ketika ribut melanda daerah Miri pada 13 September. Gambar asal -- yang tiada pakaian dalam sedang berterbangan itu -- sebenarnya diambil di pulau Hainan, China.

"Miri dilanda ribut dan hujan lebat pagi tadi mengakibatkan kelawar liar keluar dari sarang. Hal ini sangat jarang terjadi di bandaraya peranginan ini," bunyi sebahagian kapsyen Facebook disiar pada 13 September 2024.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 18 Oktober 2024

Siaran itu dikongsi selepas ribut dilaporkan melanda Miri di Sarawak pada 13 September. Ia menyebabkan pokok tumbang di jalan-jalan utama di daerah itu dan longkang turut melimpah (pautan arkib). 

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada tarikh sama turut meramalkan hujan lebat dan angin kencang di Miri (pautan arkib). 

Imej serupa dengan dakwaan sama turut dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini

Namun, gambar terbabit telah disunting dan ia sebenarnya diambil ketika taufan melanda selatan China pada awal September lalu. 

Gambar disunting

Carian imej terbalik dan kata kunci menemui gambar arkib AFP yang diterbitkan oleh agensi berita kerajaan China, Xinhua pada September 2024 apabila Taufan Yagi melanda negara itu (pautan arkib).

"Pokok kelapa ditiup angin kencang di jalan di Haikou, Wilayah Hainan di selatan China, 6 Sept. 2024," bunyi kapsyen gambar arkib itu.

Imej asal yang diterbitkan oleh Xinhua tidak menunjukkan pakaian dalam dibawa angin kencang seperti dilihat dalam gambar yang disunting. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang dilihat dalam siaran palsu (kiri) dan gambar oleh Xinhua (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang dilihat dalam siaran palsu (kiri) dan gambar oleh Xinhua (kanan)

Papan tanda pada bangunan yang dilihat dalam gambar Xinhua juga memaparkan tulisan "The Top", sebuah menara kediaman yang terletak di 22 Guoxing Avenue di bandar Haikou di pulau Hainan, menurut laman web pemaju (pautan arkib).

Bangunan itu juga boleh dilihat dalam Peta Baidu dan menerusi sebuah video yang dimuat naik ke saluran YouTube pada Mei 2023 yang menerbitkan lanskap jalan di China (pautan arkib di sini dan di sini).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi gambar Xinhua yang dikongsi dalam siaran palsu (kiri) dan lokasi yang sama dilihat pada saluran YouTube (kanan), dengan bangunan yang sama ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar Xinhua dan lokasi yang sama dilihat pada saluran YouTube

Syarikat penyiaran China, CCTV berkata taufan Yagi membawa angin lebih 230 kilometer (143 batu) sejam, menumbangkan pokok dan sekitar 460,000 orang terpaksa berpindah.

Pada 7 September, CCTV memetik pihak berkuasa tempatan sebagai berkata sekurang-kurangnya empat orang terkorban dan 95 cedera di selatan China selepas ribut melanda wilayah Hainan dan Guangdong (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami