Pakar sangkal siaran kongsi petua rawat jangkitan cacing dengan garam dan asam keping

Pakar perubatan menekankan bahawa orang yang mengalami jangkitan cacing parasit perlu mendapatkan ubat antiparasit yang ditetapkan doktor, bukan ubat buatan sendiri yang dikongsi di media sosial. Pengamal perubatan menolak dakwaan siaran yang menggalakkan kanak-kanak dimandikan air campuran garam dan asam keping, dengan berkata kaedah itu tidak terbukti berkesan secara saintifik.

"Hari nie nak share sikit tips turun temurun macamana nak hilangkan cacing pada kanak-kanak. Boleh la cuba untuk anak- anak," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook mengenai langkah untuk merawat masalah kecacingan yang disiarkan pada 18 Ogos 2024.

Pengguna Facebook itu kemudian mencadangkan cara menyediakan ubat semulajadi dengan mencampurkan garam dan asam keping ke dalam air yang mendidih sebelum mandikan pesakit dua kali sehari untuk tempoh dua hingga tiga hari.

Siaran itu menyertakan beberapa imej ramuan yang didakwa boleh mengubati kecacingan dan ilustrasi cacing parasit.

Jangkitan kecacingan merebak melalui telur dalam najis manusia yang telah mencemari tanah di kawasan tidak bersih. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ia memberi kesan kepada pertumbuhan dan perkembangan berjuta-juta kanak-kanak (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 16 Oktober 2024

Imej yang sama telah dikongsi bersama dengan dakwaan palsu yang serupa lebih 700 kali di Facebook di sini, di sini dan di sini; juga di TikTok di sini dan di sini.

Dakwaan serupa diedarkan di Facebook sejak 2017 sebelum muncul semula pada 2020.

Bagaimanapun, pakar perubatan memberitahu AFP bahawa dakwaan itu belum dibuktikan secara saintifik sebagai berkesan.

 Tiada manfaat saintifik

"Tiada bukti untuk amalan itu. Kajian telah menunjukkan beberapa fungsi antihelmintiasis dalam asam, bagaimanapun, serangan cacing berada di dalam usus," kata pakar pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya Dr Muhamad Faiz Sulieman pada 16 Oktober (pautan arkib).

Tambah Faiz, di pusat kesihatan, pesakit yang terkena serangan cacing diberi ubat antiparasit dikenali 'albendazole', yang berkesan dalam merawat kebanyakan kes.

Dr Mohamad Ikram Ilias, seorang pakar perunding pediatrik di Hospital Universiti Sains Malaysia, menasihatkan bahawa rawatan terkini untuk serangan cacing adalah ubat antiparasit seperti albendazole dimakan pada setiap enam bulan (pautan arkib).

"Ia (rawatan) berasaskan bukti dan disokong oleh banyak sorotan kajian," katanya kepada AFP pada 15 Oktober.

WHO juga mengesyorkan albendazole sebagai rawatan ubat kerana ia "berkesan, berpatutan dan boleh dipantau dengan mudah oleh kakitangan bukan perubatan."

Tambah Ikram, manfaat yang dikatakan sebagai dapat "menghilangkan" kecacingan pada kanak-kanak seperti disebut dalam siaran palsu terbabit tidak disokong oleh bukti saintifik.

Kedua-dua pakar pediatrik itu berkata jangkitan cacing boleh mengakibatkan kehilangan darah yang kronik yang boleh mengakibatkan anemia, kurang selera makan dan penurunan berat badan. Katanya, orang dewasa juga mempunyai risiko yang sama seperti kanak-kanak.

AFP sebelum ini menyemak fakta tentang rawatan kesihatan lain di sini dan di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami