Siaran kongsi laporan berita rekaan dakwa China tarik balik pelaburan di Kedah

Susulan insiden bendera China dikibar dalam satu acara perarakan di Perak yang mencetuskan kritikan daripada nasionalis Melayu, satu imej laporan berita yang disunting diedar dalam talian dengan dakwaan negara itu sedang mempertimbangkan untuk menarik balik pelaburan di Kedah. AFP mendapati artikel itu dimanipulasi untuk meniru laporan South China Morning Post, sebuah akhbar yang berpangkalan di Hong Kong. Sehingga 12 November 2024, tiada laporan rasmi bahawa China akan menarik balik pelaburan di negeri utara Semenanjung itu. 

Artikel palsu itu yang dihasilkan menggunakan tajuk besar berita akhbar Hong Kong, South China Morning Post (SCMP), dikongsi dalam siaran Facebook pada 28 Oktober 2024.

Siaran itu mendakwa: "orang Pas kedah dan Pas kelantan tidak kebulur duit pelaburan dari komunis china."

Kerajaan negeri Kedah pada Mac lalu berkata negeri itu bakal menerima pelaburan berjumlah RM50 bilion daripada lapan buah syarikat China (pautan arkib). 

Tajuk berita palsu yang diterjermah dari bahasa Inggeris itu berbunyi: "China sedang mempertimbangkan untuk menarik balik pelaburan di Kedah."

Tangkapan skrin itu juga memasukkan gambar yang menunjukkan Presiden China Xi Jinping bersama dengan beberapa pegawai sedang memeriksa peralatan ketenteraan. 

Teks bahasa Inggeris di bawah imej itu pula berbunyi: "Beijing: Berikutan isu yang melibatkan insiden bendera China di Malaysia, Xi Jinping dilaporkan memanggil beberapa syarikat untuk mengadakan mesyuarat."

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 7 November 2024

Imej sama turut dikongsi di Facebook di sini, di sini, dan di sini, serta di X dan WhatsApp.

Siaran palsu itu muncul selepas warganegara China yang menghadiri perarakan di Teluk Intan, Perak pada 24 Oktober lalu mengibarkan bendera China dalam acara itu, mencetuskan reaksi daripada nasionalis Melayu (pautan arkib di sini dan di sini).

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia sejak 15 tahun lepas dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menjalinkan hubungan rapat dengan Beijing (pautan arkib). Anwar melawat China pada awal November untuk meningkatkan lagi hubungan ekonomi, lawatan ketiganya sejak mengambil alih Putrajaya pada 2022.

Bagaimanapun, SCMP memberitahu AFP pada 31 Oktober bahawa imej yang beredar itu adalah "berita palsu yang meniru" penerbitannya. 

Pihak SCMP tidak menerbitkan sebarang artikel sedemikian tentang China menarik pelaburan dari negara ini setakat 12 November 2024.

Artikel disunting

Carian imej terbalik di Google membawa kepada imej yang sama menunjukkan Xi, diterbitkan dalam artikel SCMP lain (di sini dan di sini), yang memberi kredit kepada syarikat penyiaran China, CCTV (pautan arkib di sini dan di sini).

Bagaimanapun, susun atur artikel tersebut berbeza dengan laporan palsu itu. Fon, kedudukan dan penjajaran pada tajuk berita dan rumusan pada laporan yang disunting itu tidak padan dengan reka letak artikel di laman web SCMP.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara laporan palsu (kiri) dan artikel di halaman utama SCMP (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara laporan palsu (kiri) dan artikel di halaman utama SCMP (kanan)

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami