Siaran media sosial mengelirukan dakwa rawatan dialisis di hospital kerajaan 'tidak lagi percuma'

Dakwaan yang mengelirukan telah tular di media sosial mengatakan bahawa kerajaan akan mengenakan caj bayaran sebanyak RM13 untuk rawatan dialisis di hospital awam. Namun, rawatan itu tidak pernah percuma dan telah dikenakan sejak 2016, kata menteri kesihatan. 

"Hemodialisis di hospital kerajaan tidak lagi percuma. Semua pesakit wajib bayar RM13 untuk 1 sesi dialisis. Tapi bagi orang susah, sebulan sudah RM169. Ianya satu jumlah yang besar," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 13 Oktober 2024. 

Imej yang disertakan menunjukkan resit oleh hospital kerajaan bagi sesi dialisis untuk bulan September.

Pecahan caj menunjukkan RM10 dikenakan untuk rawatan dialisis dan sebanyak RM3 untuk caj fasiliti, menjadikan jumlah keseluruhan RM13 setiap sesi. 

Resit itu juga menunjukkan pesakit terbabit menerima 13 sesi rawatan sebulan dengan jumlah bayaran sebanyak RM169.

Siaran itu juga mendesak kerajaan "memansuhkan caj" tersebut dan mengelakkan peningkatan kos pada masa akan datang.

Image
Tangkapan skrin siaran mengelirukan yang diambil pada 5 November 2024

Siaran serupa yang mendakwa caj "baru" akan dikenakan untuk rawatan dialisis di hospital kerajaan disiarkan di Facebook di sini, di sini and di sini, dan juga di WhatsApp. 

Carian kata kunci di Google membawa kepada akaun rasmi Facebook Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang berkata dakwaan itu adalah "tidak benar" (pautan arkib).

"Perkhidmatan asas di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia kekal pada kadar RM1, perkhidmatan pakar pada RM5, dan perkhidmatan hemodialisis pada RM13 satu sesi," kata beliau dalam siaran Facebook.

Jika seorang pesakit menerima tiga sesi rawatan seminggu, kos dialisis sebulan adalah sebanyak RM169, kata beliau. Ini sepadan dengan kos yang ditunjukkan pada resit yang dikongsi dalam siaran yang mengelirukan itu. 

Beliau juga berkata caj rawatan itu dikenakan sejak tahun 2016.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook menteri kesihatan di ambil pada 5 November 2024

Caj yang sama disenaraikan di laman web rasmi Kementerian Kesihatan (pautan arkib). 

Kerajaan memberi subsidi besar kepada rakyat Malaysia untuk mendapat rawatan di klinik dan hospital kerajaan dan memperuntukkan sebanyak RM45.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan dalam Bajet 2025 (pautan arkib). 

Caj rawatan di fasiliti kerajaan juga di senaraikan dalam Akta Fi 1951, yang membahagikan kos rawatan kepada tiga kelas berdasarkan pendapatan (pautan arkib).

Mereka yang berpendapatan rendah hanya perlu membayar RM10 untuk dialisis, tidak termasuk caj fasiliti RM3, untuk mendapatkan rawatan kesihatan Kelas Tiga:

Image
Tangkapan skrin Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017 di ambil pada 5 November 2024

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu tentang kenaikan harga konsultasi di klinik awam. 

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami