Ini video serangan di Baitulmaqdis pada 2017, bukan 'trak rempuh tentera Israel di Tel Aviv' pada 2024

Selepas sebuah trak merempuh orang ramai di perhentian bas berhampiran hab komersial Israel di Tel Aviv, satu video lama dikongsi dalam siaran media sosial yang secara salah mendakwa ia menunjukkan kejadian itu berlaku pada 27 Oktober 2024. Video itu sebenarnya menunjukkan rakaman kamera litar tertutup sebuah trak melanggar askar Israel dalam satu serangan maut berhampiran destinasi pelancongan popular di Baitulmaqdis tujuh tahun lalu. 
AMARAN: Video mengandungi kekerasan.

"Operasi merempuh khusus yang dilakukan seorang warga Palestin dari bandar Qalansuwa, semalam berhampiran ibu pejabat Mossad di Tel Aviv," tulis sebahagian kapsyen siaran Facebook pada 27 Oktober 2024. 

Siaran itu mengandungi rakaman kurang jelas yang menunjukkan sebuah trak merempuh sekumpulan orang ramai. Orang ramai yang berdekatan dilihat berlari menyelamatkan diri.

"Operasi merempuh semalam pula, setakat ini mengakibatkan lebih 50 anggota tentera cedera termasuk sebahagian daripada mereka dalam keadaan sangat kritikal," dakwa siaran itu. 

Siaran itu muncul selepas seorang pemandu trak merempuh orang ramai di sebuah perhentian bas di bandar berhampiran hab komersial Israel di Tel Aviv. Seorang lelaki dilaporkan maut dan puluhan lagi tercedera akibat rempuhan terbabit (pautan arkib).

Polis tidak segera menyatakan sama ada kejadian itu, berhampiran ibu pejabat agensi perisik Mossad dan tapak risikan Israel yang lain, adalah serangan atau kemalangan tetapi menambah bahawa pemandu terbabit ditembak bagi menghentikan tindakannya. 

Image
Tangkapan skrin siaran salah, diambil pada 11 November 2024

Dalam kenyataannya, kumpulan militan Palestin Hamas berkata "rempuhan berani" itu adalah "sebagai tindak balas terhadap jenayah yang dilakukan oleh pendudukan Zionis" terhadap rakyat di Gaza.

Konflik itu tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas selatan Israel, yang mengakibatkan 1,206 orang terkorban, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP yang berdasarkan angka rasmi Israel. 

Hamas juga menahan seramai 251 tebusan, 97 daripadanya kekal di Gaza termasuk 34 orang yang diisytiharkan meninggal oleh tentera Israel.

Serangan balas Israel telah membunuh 43,665 orang di Gaza, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang diperintah Hamas itu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan angka itu sebagai boleh dipercayai.

Rakaman itu turut diedarkan dengan dakwaan sama oleh akaun Facebook lain di sini dan juga di Telegram yang telah meraih lebih 1,000 tontotan.

Video itu, bagaimanapun, menunjukkan sebuah trak berbeza merempuh orang ramai beberapa tahun lalu di Baitulmaqdis.

Serangan Jerusalem

Carian imej terbalik menggunakan 'keyframe' pada video membawa kepada laporan akhbar The Jerusalem Post dan laman web berita Israel Ynet yang menerbit berita tersebut pada 8 Januari 2017 (pautan arkib di sini dan di sini).

Laporan The Jerusalem Post bertajuk: "Video: Kamera keselamatan menangkap serangan maut trak Baitulmaqdis". Katanya, video itu menunjukkan serangan di balai pemerhatian Armon Hanatziv di  Baitulmaqdis.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video The Jerusalem Post (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin video palsu (kiri) dan video The Jerusalem Post (kanan)

Imej Google Street View mengesahkan video itu dirakam di Tayelet Haas Promenade di Baitulmaqdis-- berhampiran dengan balai pemerhatian Armon Hanatziv (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin rakaman dalam siaran palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan persamaan ditandakan AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin rakaman dalam siaran palsu (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan persamaan ditandakan AFP

Empat askar Israel terbunuh dan 17 lagi cedera apabila trak itu merempuh satu kumpulan yang melawat tempat pelancongan popular di Baitulmaqdis itu (pautan arkib).

Pemandu itu, yang dikenal pasti oleh pegawai keselamatan Palestin sebagai seorang warganegara Palestin berusia lewat 20-an dari timur Baitulmaqdis, turut terbunuh di tempat kejadian.

Serangan itu dikecam oleh Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan duta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk proses damai Timur Tengah.

Status Baitulmaqdis adalah salah satu isu paling sukar dalam konflik itu. Rakyat Palestin melihat Baitulmaqdis timur, yang diduduki Israel pada 1967 dan kemudiannya diilhak, sebagai ibu kota negara masa depan mereka manakala Israel melihat seluruh bandar itu sebagai ibu kotanya.

AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai konflik Israel-Palestin di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami