Kerajaan menolak dakwaan 'berjuta rakyat China' diberi kewarganegaraan

Seramai 103 rakyat China diberi kewarganegaraan sejak 2013 dan bukan "berjuta", bertentangan dengan dakwaan mengelirukan di media sosial bahawa penduduk Cina di Malaysia meningkat berjuta-juta. Dakwaan itu tersebar selepas seorang khatib dalam khutbah Jumaat berkata seramai 1.2 juta rakyat China diberi kewarganegaraan Malaysia. 

"Kadar kelahiran Melayu 67.4 peratus cina 9.7 peratus. Menghairankan bila pertambahan penduduk bangsa cina seramai 8juta. Mana datangnya ramai2," bunyi kapsyen siaran TikTok pada 1 November 2024 yang ditonton sebanyak 37,000 kali. 

Image
Tangkapan skrin dakwaan mengelirukan di TikTok diambil pada 14 November 2024

Tangkapan skrin siaran TikTok itu juga tersebar di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.

Dakwaan serupa yang berkata 1.2 million  rakyat China diberi kewarganegaraan mula tersebar di media sosial sejak 2022 (pautan arkib

Ia tersebar semula pada bulan November apabila seorang khatib mendakwa bahawa 1.2 juta rakyat China diberi kewarganegaraan. Khatib itu sedang disiasat polis (pautan arkib). 

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan tersebut pada sidang Dewan Rakyat pada 7 November 2024 (pautan arkib). 

Beliau berkata hanya 103 rakyat China telah diberi kewarganegaraan sejak 2013 dibawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukan 1.2 juta seperti yang tular.

"Mereka yang mendapat kewarganegaraan berkahwin dengan orang tempatan," kata beliau. 

Saifuddin berkata setakat ini  84,817 rakyat China berada di Malaysia dengan menggunakan pas lawatan social (pautan arkib).

Antara 1 Januari 2018 dan November 2024,  seramai 8.4 juta pelancong China tiba di Malaysia dengan pelepasan sebanyak 8 juta. 

Beliau berkata baki 479,359 orang tidak keluar dari Malaysia merangkumi individu dengan pas jangka panjang seramai 129,005, diusir atas kesalahan di bawah akta tertentu seramai 5,359 dan permohonan pas khas berjumlah 141,783 selain individu yang berada dalam Depoh Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia. 

Anggaran penduduk semasa

Menurut data daripada Jabatan Statistik Malaysia, anggaran penduduk semasa setakat 2024 adalah sebanyak 34 juta (pautan arkib).

Melayu dan Bumiputera membentuk 70.4 peratus daripada populasi, manakala Cina menyumbang 22.4 peratus dan India mewakili 6.5 peratus. Kaum lain membentuk 0.7 peratus daripada populasi.

Image
Tangkapan skrin anggaran penduduk semasa Jabatan Perangkaan diambil pada 19 November 2024

Sementara itu, kadar kelahiran dalam kalangan orang Melayu ialah 67 peratus, atau 305,400, manakala kaum Cina pula 9.8 peratus, atau 44,800. Kadar kelahiran dalam kalangan orang India ialah 4.4 peratus, atau 20,000 (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami