Video ‘hujan dan banjir secara tiba-tiba’ di Kuala Lumpur ini hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari Khamis 21/11/2024 pukul 07:52
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"LANGIT RUNTUH? Hujan dan banjir berlaku secara tiba-tiba di Kuala Lumpur. Hanya turun di satu tempat seperti langit runtuh," bunyi kapsyen TikTok yang disiarkan pada 30 Oktober.
Video itu menunjukkan hujan lebat yang turun tiba-tiba diikuti banjir di hadapan sebuah pangsapuri. Teks pelekat pada video TikTok itu berbunyi: "Hujan dan banjir Secara Tiba Tiba di Kuala Lumpur".
Video itu diedarkan dengan dakwaan serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini. Ramai pengguna media sosial juga percaya video itu adalah tulen dan menyampaikan doa dalam ruangan komen.
Video itu juga tersebar di Indonesia dan Thailand.
Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran TikTok dari Misba Zamar, seorang pencipta video kecerdasan buatan (AI).
Video yang dikongsi dalam siaran TikToknya itu dilabel sebagai #aigeneratedvideo dengan kapsyen yang jelas menyatakan ia adalah janaan AI.
Misba memberitahu AFP dia mencipta video itu menggunakan aplikasi bernama HailuoAI. Aplikasi itu membantu pengguna menjana video menggunakan gesaan teks atau imej. Katanya, kaedah janaan "imej ke video" untuk menghasilkan klip itu telah digunakan.
"Malangnya, sesetengah orang menyiarkannya semula dan menukar kapsyen untuk mensensasikannya," katanya kepada AFP.
Elemen AI
Shu Hu, ketua Makmal Forensik Media dan Pembelajaran Mesin di Universiti Purdue di Amerika Syarikat memberitahu AFP video itu jelas "disintesis AI, dengan beberapa artifak bercanggah dengan undang-undang dunia fizikal" (archive link).
Hu berkata beberapa elemen -- kereta kuning yang dilihat pada permulaan video hilang selepas "hujan" bermula, manakala sebuah kereta hitam muncul secara tiba-tiba selepas hujan lebat -- menunjukkan bahawa video itu adalan janaan AI.
Pokok dalam video itu juga tidak konsisten. Beberapa kelihatan bergoyang semasa hujan manakala yang lain tidak bergerak langsung.
Pokok yang berada di hadapan pangsapuri itu juga tiba-tiba bertambah apabila hujan dan banjir bermula.
Bukan Kuala Lumpur
Latar belakang yang dilihat dalam video itu juga bukan diambil di Kuala Lumpur tetapi di Singapura, Misba memberitahu AFP.
"Pangsapuri itu berada di sebelah barat Singapura di kawasan Chua Chu Kang," katanya.
AFP mengesahkan lokasi video tersebut dengan membandingkannya dengan imej Google Street View dari kawasan itu.
AFP telah menafikan maklumat salah lain mengenai kandungan imej dan video yang dicipta menggunakan AI di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami