Ini video ribut di selatan Filipina pada Oktober 2024, bukan Taufan Super Man-yi pada November 2024
- Diterbitkan pada hari Khamis 28/11/2024 pukul 07:51
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Jan Cuyco, AFP Filipina, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Taufan Man-yi melanda Filipina, mengakibatkan pokok tumbang, terputus bekalan elektrik, dan bumbung zink tercabut dalam kejadian ribut pada Ahad," bunyi sebahagian kapsyen pada Facebook reel yang dikongsi pada 17 November.
Video -- yang meraih 10,000 tontonan itu -- menunjukkan angin kencang menumbangkan pokok-pokok dan tiang-tiang sebelum kamera bergerak ke arah orang yang sedang dalam ketakutan menyaksikan kejadian ribut itu dari dalam rumah mereka.
Taufan Man-yi telah menumbangkan pokok, memusnahkan talian elektrik dan rumah-rumah rapuh selepas melanda pulau Catanduanes di Filipina pada 16 November (pautan arkib).
Ia merupakan ribut besar keenam dalam tempoh sebulan yang melanda negara itu; mengorbankan sekurang-kurangnya 171 orang dan ribuan lagi hilang tempat tinggal selain turut memusnahkan tanaman dan ternakan.
Video serupa mendapat lebih 10,000 tontonan selepas beredar di akaun Facebook lain di sini dan di sini.
Tetapi rakaman itu muncul dalam talian beberapa minggu sebelum Taufan Super Man-yi melanda Filipina.
Menerusi hasil gabungan kata kunci dan carian imej terbalik, AFP menemui versi video berdurasi lebih panjang yang dimuat naik di Facebook pada 25 Oktober (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video palsu (kiri) dan video dirakam pada 25 Oktober (kanan):
Video -- yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook bernama Jessa Alejandro -- itu turut menunjukkan pokok tercabut dari akarnya dan tiang yang tumbang akibat angin kuat.
"Pertama kali di Logpond," bunyi tajuknya, merujuk kepada sebuah bandar di wilayah selatan Filipina, Zamboanga Sibugay.
Alejandro memberitahu AFP bahawa dia merakam video itu pada 25 Oktober.
"Saya tidak sangka. Cuaca pada mulanya baik, kemudian ia menjadi sangat buruk. Ia adalah kali pertama berlaku di kawasan kami," katanya pada 25 November.
"Tetapi apa yang orang lain di TikTok dan Facebook dakwa tentang video saya adalah tidak benar."
Organisasi semakan fakta Filipina VERA Files juga menafikan video palsu itu (pautan arkib).
Ribut Tropika Trami menyebabkan kemusnahan yang besar di utara Filipina pada 24 Oktober dan agensi kaji cuaca negara itu turut memberi amaran bahawa ribut akan membawa angin kencang di Zamboanga pada 25 Oktober (pautan arkib di sini dan di sini).
Kira-kira 20 ribut dan taufan besar melanda negara Asia Tenggara itu atau perairan sekitarnya setiap tahun, mengorbankan ramai orang.
Tetapi peristiwa cuaca buruk satu demi satu jarang berlaku dalam jangka masa yang pendek (pautan arkib).
Sementara itu, video kedua yang digabung dalam video salah itu dikongsi oleh seorang pengguna Facebook bernama Victor Cajag Jr menunjukkan kejadian sebenar Taufan Super Man-yi yang dilaporkan berlaku pada November 2024 (pautan arkib).
Dia mengesahkan kepada AFP bahawa video itu dirakam pada 17 November ketika taufan melanda kepulauan Polillo di wilayah Quezon (pautan arkib).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami