Kementerian Kesihatan beri amaran produk kuruskan badan mengandungi bahan terlarang

Iklan produk coklat dikongsi sebagai suplemen penurunan berat badan jenama Slymchoco terus muncul dalam talian walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengeluarkan amaran bahawa ia mengandungi sibutramine, bahan terlarang yang bertindak sebagai pemendam selera makan. Walaupun siaran media sosial mendakwa produk itu selamat, kementerian memberi amaran sebatian kimia itu telah dikaitkan dengan serangan jantung dan strok dalam kalangan pesakit obes dan sesiapa yang menjual produk coklat itu boleh didakwa.

Siaran yang mempromosikan coklat itu muncul pada 15 November 2024, dengan gambar produk itu bersama nombor WhatsApp.

Versi awal siaran yang dikongsi pada 22 Januari lalu -- yang menamakan produk itu sebagai Slymchoco dan Slymochoco -- mengandungi kapsyen mengatakan ia "selamat digunakan" dan membantu menurunkan berat badan tanpa perlu bersenam.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu di ambil pada 5 Disember 2024

Siaran serupa mengiklankan produk itu telah diedarkan di Facebook sejak 2020.

Produk itu telah ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada Mac lalu susulan penemuan sibutramine, bahan terlarang yang bertindak sebagai pemendam selera makan.

Risiko kesihatan

Larangan penjualan produk yang diterbitkan di laman Facebook KKM pada 16 Mac berkata sibutramine diklasifikasikan sebagai bahan terlarang di negara ini kerana ia dikaitkan dengan serangan jantung dan strok dalam kalangan pesakit obes (pautan arkib).

"Antara kesan sampingan sibutramine yang dilaporkan ialah gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat. Selain kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya," katanya. 

Kementerian itu memberitahu AFP pada 28 November bahawa sesiapa yang menjual produk yang terbukti mengandungi bahan terlarang boleh didakwa.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara produk yang ditunjukkan dalam siaran palsu (kiri) dan contoh gambar produk Slymchoco yang disertakan dalam kenyataan KKM (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin produk ditunjukkan dalam siaran palsu (kiri) dan contoh gambar produk Slymchoco yang disertakan dalam kenyataan KKM (kanan)

Dr Geeta Appannah dari Jabatan Pemakanan Universiti Putra Malaysia berkata produk yang mengandungi sibutramine perlu dielakkan susulan kesan bahaya ubat terbabit (pautan arkib). 

Katanya, menggabungkan ubat pemendam selera makan seperti sibutramine dengan coklat atau makanan tambahan untuk menurunkan berat badan membawa kepada risiko kesihatan yang serius seperti serangan jantung, strok, tekanan darah tinggi dan masalah kardiovaskular yang lain.

"Coklat itu sendiri memberikan manfaat secara langsung penurunan berat badan yang minimum. Walaupun sebatian koko mungkin mempunyai kesan ringan pada metabolisme atau selera makan, kesan utama masih akan datang daripada ubat itu," katanya kepada AFP pada 28 November.

Geeta berkata pengurusan berat badan yang mampan memerlukan pendekatan yang seimbang dengan pemakanan sihat, kerap bersenam dan bimbingan secara profesional.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami