Pakar onkologi sangkal dakwaan air nanas panas 'bunuh sel kanser'
- Diterbitkan pada hari Rabu 27/11/2024 pukul 07:49
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Harshana SILVA, AFP Sri Lanka, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Air Nanas Panas boleh menyelamatkan Anda seumur hidup. Nanas Panas > < dapat membunuh sel kanser!" bunyi sebahagian kapsyen Facebook yang disiarkan pada 30 Oktober 2024.
Siaran itu juga mengesyorkan buah nanas perlu dihiris sebelum ditambah dengan air panas dan diminum setiap hari.
"Setelah membaca, beri tahu yang lain, keluarga & teman."
Imej yang sama telah dikongsi dengan dakwaan palsu serupa di Facebook di sini, di sini dan di sini. Ia juga tersebar di Indonesia dan Sri Lanka. Dakwaan serupa diedarkan di Facebook sejak 2019 sebelum ia muncul semula.
Tiada bukti
Dr Sanjeeva Gunasekaran daripada Institut Kanser Kebangsaan Sri Lanka memberitahu AFP pada 10 November 2024 "tiada bukti yang menyokong dakwaan yang disebar itu" (pautan arkib).
"Dakwaan palsu seperti nanas akan bunuh sel kanser, air panas rendaman nanas mempunyai manfaat tambahan, ia menyembuhkan kanser boleh mengelirukan orang awam untuk tidak mendapat rawatan yang sepatutnya," kata beliau.
Seorang pakar onkologi sebelum ini memberitahu AFP walaupun nanas mempunyai banyak manfaat kesihatan, tiada bukti kukuh menunjukkan buah itu akan menjadi rawatan yang berkesan.
"Seperti buah-buahan lain -- termasuk epal dan alpukat -- nanas baik untuk kesihatan. Buah-buahan ini boleh menyokong kesihatan umum dan imuniti. Kebaikan buah-buahan ini setakat itu sahaja," kata pengerusi Yayasan Kanser Indonesia Profesor Dr Aru Wisaksono Sudoyo pada 6 Ogos 2021 (pautan arkib).
Walaupun nanas, buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu mengurangkan risiko kanser, ia tidak setara dengan rawatan perubatan atau terapi untuk penyakit itu, tambahnya.
AFP sebelum ini pernah menafikan dakwaan palsu mengenai rawatan kanser di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami