Gambar hasil janaan AI ini dikongsi dengan dakwaan salah manusia 'leher panjang di Hutan Amazon'
- Diterbitkan pada hari Jumaat 06/12/2024 pukul 05:12
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Pasika KHERNAMNUOY, AFP Thailand, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2024. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Penemuan mengejutkan di hutan hujan Amazon! Tengkorak raksasa dengan leher terpanjang di dunia ditemukan," bunyi kapsyen pada siaran Facebook dikongsi pada 19 Oktober 2024.
"Penemuan ini bakal mengubah sejarah dunia!"
Tiga imej berwarna keperangan dalam siaran itu menunjukkan orang berleher panjang dan rangka manusia yang mempunyai berpuluh-puluh tulang leher.
Imej itu telah dikongsi bersama dakwaan serupa di Facebook di sini dan di sini, selain turut muncul dalam bahasa lain termasuk bahasa Arab, Inggeris, Hindi, Jepun, Swahili serta Thai.
Walaupun sesetengah pengguna media sosial itu menyifatkan gambar tersebut sebagai palsu, ramai yang dilihat percaya bahawa ia secara tulen menunjukkan sebuah keluarga berleher panjang.
"Pelik tapi benar," kata seorang pengguna Facebook. "Menakutkan!" kata pengguna lain.
AFP berulang kali menyemak fakta kandungan janaan AI, termasuk video adegan dramatik "hujan dan banjir secara tiba-tiba" di Kuala Lumpur serta imej yang dikongsi sebagai ikan aneh ditangkap oleh nelayan Papua.
Imej manusia berleher panjang yang disebarkan dalam siaran tersebut menunjukkan elemen bahawa ia dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut satu kajian pada 2018 yang dirujuk oleh rekod dunia Guinness, manusia dengan leher terpanjang ditemui dalam kalangan wanita suku Padaung, yang tinggal di kawasan tanah tinggi di barat laut Thailand dan tenggara Myanmar (pautan arkib). Ukuran leher mereka mencapai 19.7 sentimeter (7.7 inci) hasil lilitan gelungan tembaga dipakai pada leher.
Gambar AI
Hasil carian imej terbalik dan kata kunci mendapati imej terbabit dikongsi dalam satu siaran TikTok pada 23 November 2023 (pautan arkib).
Kapsyen pada siaran itu berbunyi: "Rakaman yang bocor sejarah pada tahun 1860 untuk melengkapkan keluarga yang didapati mempunyai leher terpanjang ketika itu, 3 pesaing teratas."
Imej-imej itu telah disiarkan oleh satu akaun bernama "FunnyAI", dimana butiran pada halamannya menyebut ia mencipta "seni aneh dan lucu yang dijana AI" (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi gambar dalam siaran palsu (kiri) dan dalam siaran TikTok (kanan):
Walaupun AFP tidak dapat mengesahkan asal usul gambar rangka gergasi, seorang pakar AI berkata ia kelihatan seperti dihasilkan secara digital.
Shu Hu, ketua Makmal Forensik Media dan Pembelajaran Mesin dari Universiti Purdue di Amerika Syarikat, menunjukkan elemen yang tidak konsisten pada visual imej tersebut, termasuk wajah yang herot, kekurangan anak mata pada mata manusia, dinding kabin kayu yang tidak sejajar, kepala yang hilang dan lebihan pada anggota jari dan tulang leher (pautan arkib).
Di bawah ialah tangkapan skrin imej asal yang dijana AI, dengan elemen tidak konsisten pada visual yang ditandakan AFP:
"Imej ini dengan mudahnya boleh membawa kepada penyebaran maklumat palsu," katanya kepada AFP.
Imej itu juga ditandakan sebagai dihasilkan menggunakan AI oleh projek pengesahan Eropah vera.ai, di mana AFP merupakan rakan kongsi. Pengesan itu mengenal pasti tanda-tanda tertentu yang ditinggalkan oleh perisian penjanaan imej AI.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami