Siaran mengelirukan mendakwa kasino Genting diberi status halal
- Diterbitkan pada hari Isnin 09/12/2024 pukul 05:38
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Genting dapat sijil halal, KK Mart dapat usahawan terbaik, GISB takde jual benda haram ditutup bisnesnya. Kalau bukan rasis nak kata apa lagi?" bunyi kapsyen siaran Facebook pada 18 November 2024.
Siaran mengelirukan itu turut mendakwa bahawa Global Ikhwan Services and Business (GISB) telah ditutup walaupun tidak terlibat dengan aktiviti haram.
Siaran itu tersebar selepas premis makanan Jom Makan SkyAvenue and Jom Makan Street Food di Genting diiktiraf sebagai Juara Halal Negeri Pahang semasa acara Halal on Track Pahang 2024 (pautan arkib).
Dakwaan serupa disiarkan di Facebook di sini, di sini, di sini dan di sini.
Halal champion
Dalam siaran Facebook pada 16 November, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata pensijilan halal yang diberikan kepada Genting Malaysia Berhad yang mengendalikan Resorts World Genting hanya meliputi premis makanan (pautan arkib).
"Pensijilan halal ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan premis judi seperti isu yang tersebar," katanya.
Genting adalah antara 10 perniagaan yang diiktiraf sebagai juara halal negeri Pahang selepas penilaian menyeluruh terhadap dasar pematuhan halal mereka.
Upacara anugerah itu turut disiarakan secara langsung di laman Facebook Jakim (pautan arkib).
GISB Ops Global
Dakwaan GISB tidak terlibat dalam aktiviti haram juga tidak tepat. Kumpulan itu lama dikatkan dengan gerakan Al-Arqam yang diwartakan sebagai ajaran sesat pada 1994.
Menerusi Ops Global yang dilancarkan pada bulan September, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan beberapa serbuan di seluruh negara dan menyelamatkan lebih 600 kanak-kanak -- sebahagian didapati telah didera -- yang berada di rumah amal yang dikendalikan oleh GISB (pautan arkib).
Seramai 415 orang termasuk ketua eksekutif GISB, isterinya, dan pengurusan tertinggi GISB telah ditahan polis.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami