Imej perigi bersejarah di Itali dikongsi dengan dakwaan salah 'asal-usulnya misteri'

Asal-usul Pozzo di San Patrizio -- sebuah struktur bersejarah di tengah Itali -- telah didokumentasikan dengan baik tetapi siaran dalam talian berulang kali berkongsi gambar tapak tersebut bersama dakwaan salah bahawa asal-usulnya kekal sebagai "misteri" dan tujuannya dibina tidak diketahui. Pelbagai sumber membuktikan perigi itu digali pada abad ke-16 untuk membekalkan bekakan air ke bandar Orvieto sekiranya berlaku pengepungan.

"Pada abad-abad Pertengahan di Itali, perigi ini dibina, dilengkapi dengan tangga yang membolehkan orang turun. Telaga itu sedalam 72 meter," bunyi kapsyen siaran dikongsi oleh seorang pengguna Facebook kepada 68,000 orang pengikutnya pada 24 November. 

"Asal-usul perigi adalah misteri, dan tiada siapa yang tahu siapa yang membinanya dan apa tujuannya."

Imej pada siaran salah itu menunjukkan sebuah perigi yang dalam dan diselangi dengan tingkap yang banyak. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 3 Disember 2024

Imej sama dikongsi di Facebook di seluruh dunia, termasuk oleh akaun dari Malaysia, Syria dan wilayah Palestin.

Beberapa pengguna Facebook juga dilihat mempercayai siaran salah yang mendakwa asal-usul struktur itu adalah satu misteri. 

Ada warganet yang membuat spekulasi di ruangan komen mengatakan ia adalah "sejarah yang tersembunyi", sementara seorang lagi berkata: "Mungkin ini penjara zaman dulu."

Imej itu, bagaimanapun, menunjukkan Telaga San Patrizio di Itali yang sejarahnya telah didokumentasikan dengan baik.

'Bekalan air'

Carian imej terbalik di Google diikuti dengan carian kata kunci menemui gambar serupa disimpan dalam arkib AFP (pautan arkib).

"Pozzo di San Patrizio, Orvieto, Terni, Umbria, Itali, Eropah," tulis sebahagian kapsyen gambar itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej yang diedar dalam talian (kiri) dan gambar dari arkib AFP (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej beredar dalam talian (kiri) dan dalam arkib AFP (kanan)

Menurut Global Network of Water Museums -- inisiatif andalan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) -- perigi itu dibina pada abad ke-16 (pautan arkib).

"Perigi San Patrizio, karya agung kejuruteraan Renaissance, telah digali oleh Pope Clement VII, yang berlindung di Orvieto selepas peristiwa 'Pembongkaran Rom' oleh tentera empayar dan Lanzichenecchi, untuk membekalkan air ke bandar itu sekiranya berlaku pengepungan," katanya.

"Tugas itu telah diamanahkan kepada Antonio da Sangallo the Younger pada 1527. Kerja galian selesai pada 1537 di bawah pemerintahan Paul III Farnese."

Tambah laporan itu, San Patrizio berkedalaman 54 meter (177 kaki), mempunyai tangga berpusar yang berkembar dengan 248 anak tangga dengan ukuran diameter 13 meter (42 kaki). Ia diterangi dengan 72 buah tingkap besar dan punca air datang dari mata air semula jadi.

Laman web rasmi Orvieto dan laman web pelancongan tempatan menyertakan butiran yang serupa tentang pembinaan tapak bersejarah itu (pautan arkib di sini dan di sini).

Pengedar gambar Amerika Syarikat, Getty Images menerbitkan gambar yang menunjukkan pelan lantai dan keratan rentas telaga (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin gambar pelan lantai perigi yang diterbitkan oleh Getty Images

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami