Ini video gempa di Taiwan pada April, bukan 'gempa bumi kuat landa California' pada Disember 2024
- Diterbitkan pada hari Jumaat 13/12/2024 pukul 10:28
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Daniel Patrick GALGANO, AFP Amerika Syarikat, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Gempa bumi kuat berukuran 7.0 pada skala Richter melanda pantai utara California pada pukul 2:44 pagi, 6 Disember 2024, menurut Lembaga Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS)," bunyi sebahagian kapsyen siaran TikTok dikongsi pada 6 Disember 2024.
"Memetik laporan BBC, amaran tsunami pada awalnya dikeluarkan di sepanjang pantai utara California dan selatan Oregon -- kawasan yang melibatkan kira-kira 4.7 juta orang, namun telah dibatalkan kemudian."
Klip itu menunjukkan kesan gegaran yang jelas dilihat dari sebuah apartmen dengan perabot dan lampu bergoyang sebelum jatuh ke lantai.
Video serupa juga dikongsi di pelbagai platform dengan dakwaan ia dirakam di California seperti di X, Facebook, Instagram, Threads, TikTok, YouTube dan Rumble -- termasuk dalam bahasa lain iaitu Sepanyol, Arab dan Turki.
Pakar seismologi dari Tinjauan Geologi di Amerika Syarikat berkata gempa yang berlaku di luar pantai Ferndale menyebabkan gegaran dirasai di seluruh rantau itu, termasuk di San Francisco Bay Area (pautan arkib).
"Anda berada dalam bahaya. Jauhkan diri dari kawasan perairan," bunyi mesej dihantar oleh Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) kepada pengguna telefon pintar yang menggesa penduduk untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi.
"Siri ombak kuat dan arus deras mungkin berlaku di pantai berhampiran anda," kata amaran itu, sebelum ia ditarik balik sekitar waktu tengah hari.
Bagaimanapun, video yang disiarkan dalam talian itu bukannya dirakam di California.
Carian imej terbalik mendapati video itu pernah disiarkan di TikTok pada 6 April 2024 (pautan arkib). Kapsyen siaran itu menunjukkan ia dirakam tiga hari lebih awal pada jam 1458 GMT di ibu negara Taiwan, Taipei.
"Saya berada di tingkat 15 dan saya masih cuba mengatasi pengalaman bangunan bergoyang, ia seolah saya terapung di laut," bunyi sebahagian kapsyen siaran TikTok itu.
@drsamtrang Taipei Earthquake 2024 This was one of the scariest few minutes of my life. I was trying to figure out where to protect myself in my hotel room. I started to move towards the center of the building once the big jolts slowed down. After the first huge jolt, there were numerous aftershocks. I was on the 15th floor and the building swaying is something I am still trying to work through; it is as if I have sea legs. I'm so grateful my friends and I are safe. Praying for the injuries, displaced, and decreased. Date: April 3, 2024 Location: Taipei, Taiwan Time 7:58 am #taiwanearthquake#taipeiearthquake#taipei#taiwan#sealegs#taiwanearthquake2024#taipeiearthquake2024♬ original sound - Sam Trang, DDS
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video palsu (kiri) dan video dirakam pada 6 April lalu (kanan):
Taiwan dilanda gempa bumi 7.4 magnitud pada 3 April yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 orang dan lebih 1,100 orang dilaporkan cedera. Pusat gempa berlaku di sekitar timur Bandar Hualien, tetapi gegaran dirasai di seluruh pulau itu.
Sam Trang, individu yang merakam video itu, menyiarkan video lain beberapa hari kemudian yang menunjukkan Air Terjun Shifen di utara pulau itu. Trang, yang tinggal berhampiran San Francisco, mengesahkan kepada AFP bahawa dia merakam video itu pada April lalu semasa gempa bumi di Taiwan, bukan di California.
Sementara itu, klip-klip lain yang digabung dalam video salah itu dikongsi oleh pihak berkuasa dan pengguna media sosial yang berpangkalan di California seperti di sini, di sini dan di sini. Video terbabit menunjukkan kejadian sebenar gempa pada 6 Disember lalu (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami