Laporan berita RTM disunting sebagai promosi 'lesen memandu tanpa ujian'
- Diterbitkan pada hari Jumaat 13/12/2024 pukul 10:35
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"DAPATKAN LESEN MEMANDU TANPA UJIAN," bunyi teks pada siaran TikTok dikongsi pada 29 November 2024.
Video yang ditonton lebih 760,000 kali itu dilihat memaparkan laporan berita oleh stesen penyiaran awam Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ia memaparkan klip daripada mesyuarat Kementerian Pengangkutan dan visual rakaman kaunter pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sambil audio alih suara mengulangi dakwaan mengenai cara untuk mendapatkan lesen memandu.
Tambah kapsyen pada video itu: "Adakah Lesen Ini Palsu? Sudah semestinya tidak. Lesen adalah original JPJ (Boleh semak dalam sistem selepas dapat lesen).
"Kami ingin memberi tahu bahawa di mana saja anda berada anda boleh memohon lesen ini kerana kami beroperasi 100% atas talian. Dan semua urusan anda adalah terus dgn pegawai jpj."
Akaun sama berkongsi video serupa di sini yang mendakwa lesen itu berharga antara RM300 hingga RM1,550.
Satu lagi video serupa telah dikongsi di Instagram, yang menyertakan pautan ke sembang WhatsApp pada bionya di mana pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut.
AFP menghubungi nombor tersebut dan diberikan satu borang pesanan yang meminta nama penuh pemohon, jenis lesen yang dimohon dan alamat penghantaran. Pemohon juga diminta menghantar gambar kad pengenalan.
Tetapi lesen hanya diperolehi pemandu baharu yang lulus "kesemua prosedur pelajaran dan ujian memandu", menurut laman web kerajaan dan permohonan hanya boleh dibuat di pejabat JPJ negeri dan cawangan (pautan arkib).
'Sindiket lesen terbang'
Carian kata kunci di Google mendapati JPJ berkata siaran-siaran itu adalah "palsu" di laman Facebook rasminya pada 2 Disember (pautan arkib).
Jabatan itu menyifatkan akaun-akaun yang berkongsi siaran itu sebagai sebahagian daripada "sindiket lesen terbang".
"JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih," katanya.
Carian imej terbalik yang berasingan di Google pada video yang dikongsi secara palsu itu membawa kepada segmen berita serupa yang diterbitkan oleh RTM pada saluran YouTube rasminya pada 4 Januari 2023 (pautan arkib).
Video salah itu sepadan dengan video segmen berita RTM pada saat ke-21.
Berita RTM itu adalah mengenai peningkatan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dan itu ditunjukkan dalam teks dibawah video yang telah diubah.
Tiada dakwaan "lesen memandu tanpa ujian" disebut dan alih suara yang digunakan dalam video palsu itu juga berbeza daripada yang digunakan dalam laporan RTM.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video palsu (kiri) dan laporan RTM (kanan):
Seorang jurucakap RTM memberitahu AFP bahawa video itu telah disunting dan trek audio asalnya telah diganti.
"Video tersebut diubah dari video Youtube Berita RTM, diedit dan di muat naik pula ke TikTok," katanya pada 6 Disember.
Syarikat berita nasional itu juga menafikan siaran palsu di saluran YouTubenya pada 9 Disember (pautan arkib).
AFP menafikan dakwaan palsu lain yang dikongsi oleh akaun yang menyamar sebagai jabatan atau agensi kerajaan di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami