Ini imej Assad lawat Aleppo pada 2023, bukan pemimpin Syria digulingkan 'sampai ke Moscow' pada 2024

Media Rusia melaporkan bahawa presiden Syria Bashar al-Assad telah melarikan diri ke Moscow selepas kerajaan pimpinannya digulingkan. Namun, imej dikongsi di media sosial yang kononnya menunjukkan pemimpin itu berada di Moscow adalah palsu. Gambar tersebut diambil semasa Assad melawat Aleppo pada 2023.

"Bashar al-Assad dan Asma al-Assad sampai ke Moscow untuk suaka politik (political asylum)," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 9 Disember 2024.

Gambar itu menunjukkan Assad berjalan ditemani isterinya Asma al-Assad dan beberapa orang lelaki. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 9 Disember

Imej yang sama turut diedarkan di sini, di sini, di sini dan di sini. Ia juga diedarkan di platform media sosial lain seperti  X, Facebook, Instagram, Threads dan TikTok dalam bahasa  Perancis, Sepanyol dan Arab.

Ia juga diterbitkan tanpa konteks yang tepat oleh media  Lubnan, New Zealand, Afghan dan lain-lain.

Rejim Assad ditumbangkan kumpulan pemberontak dalam serangan 11 hari yang menyaksikan pemimpin Syria itu terasing daripada sekutunya dan tidak berupaya berpegang pada Aleppo, Hama dan ibu kota negara itu, Damsyik (pautan arkib).

Bekas perdana menteri Mohammed al-Jalali berkata beliau akan menyerahkan kuasa kepada kumpulan pemberontak yang diketuai kumpulan Islam Hayat Tahrir al-Sham (pautan arkib).

TASS dan Ria Novosti, dua agensi media yang dibiayai Rusia, melaporkan Assad melarikan diri dari Syria dan diberi suaka oleh pihak berkuasa Rusia (pautan arkib).

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov awalnya tidak mengesahkan sama ada Assad berada di negara itu, tetapi pada 10 Disember, timbalan menteri luar negeri Rusia Sergei Ryabkov memberitahu NBC News bahawa Assad berada di negara itu (pautan arkib di sini dan di sini). 

Namun, setakat 10 Disember, tiada imej menunjukkan Assad berada di Rusia diedarkan dan lokasi sebenar beliau tidak didedahkan secara terbuka.

Gambar dari Aleppo

AFP sebelum ini telah menafikan imej itu yang tersebar dengan tajuk utama: "NEWS Russian state media: Bashar al Assad is in Moscow". 

Carian kata kunci membawa kepada video YouTube yang dimuat naik oleh Sky News sebelum 8 Disember (pautan arkib). Klip yang dimuat naik menyatakan ia adalah rakaman arkib dan bukan dari ibu negara Rusia.

Rakaman arkib Sky News jelas menyatakan ia dirakam ketika Assad membuat lawatan ke hospital di Aleppo, Syria. 

Carian kata kunci juga membawa kepada rakaman yang diambil oleh media tempatan pada Februari 2023 ketika lawatan Assad ke Hospital Universiti Aleppo untuk melawat mangsa gempa bumi yang melanda timur laut Syria dan mengorbankan ribuan orang (pautan arkib di sini dan di sini). 

Wartawan AFP juga merakam lawatan Assad ke hospital itu pada 2023. Ia menunjukkan Assad berpakaian jaket yang sama (pautan arkib).

Gempa bumi yang menjejaskan kawasan Idlib, Aleppo, Hama, Lata dan Tartous di Syria juga menyebabkan ribuan terkorban di negara jiran Turki (pautan arkib). 

Updated to correct text on header image
16 Disember 2024 Updated to correct text on header image

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami