Siaran palsu kongsi laporan berita dakwa 'Sultan Pahang murka dengan PM Anwar Ibrahim' disunting

Susulan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalankan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, soalan telah dibangkitkan di Dewan Rakyat mengenai dakwaan terdapat titah yang membolehkannya berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. Tetapi laporan berita dikongsi di media sosial mendakwa Sultan Pahang murka dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana enggan mengulas perkara itu adalah palsu. Portal berita Malaysiakini berkata ia tidak menyiarkan laporan terbabit dan logonya telah disalahguna.

Satu tangkapan skrin yang kononnya menunjukkan laporan berita -- mengandungi logo laman web berita dalam talian Malaysiakini -- dikongsi di Facebook pada 12 Disember 2024.

"SULTAN PAHANG KECEWA DAN MURKA DENGAN JAWAPAN YANG DIBERIKAN PMX ANWAR IBRAHIM BERKAITAN ADENDEM PEGAMPUNAN," bunyi tajuk berita itu. 

Ia memaparkan gambar Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah -- dimana bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa baginda mengeluarkan perintah yang membolehkannya menjalankan baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah (pautan arkib). 

Titah adendum, yang didakwa wujud itu, belum didedahkan kepada umum dan tiada sebarang komen daripada Sultan Abdullah yang telah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Januari lalu. 

Artikel itu yang mempunyai kesalahan ejaan berbunyi: "Anwar Ibrahim pernah di beri pengampunan sepatuynya beliau perlu lebih faham titah pengampunan bukan kelirukan rakyat dengan mencari alasan yang tidak releven."

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 19 Disember 2024

Siaran salah itu muncul selepas Anwar enggan mengulas isu itu di Dewan Rakyat, mengambil nasihat Jabatan Peguam Negara agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis (pautan arkib).

Ia juga dikongsi dalam kumpulan Facebook dengan lebih 100,000 orang pengikut, serta di TikTok, dengan komen pada siaran terbabit yang menunjukkan mereka percaya itu adalah laporan berita yang tulen.

"Beri [Anwar] hukuman yg setimpal...," tulis seorang pengguna. 

Seorang lagi pengguna berkata: "Mcm ni baru lah raja….bersuara demi tegak kan kedaulatan raja raja…"

Namun, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Saiful Edris Zainuddin berkata pada 12 Disember bahawa istana tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai titah adendum bagi menghormati prosiding mahkamah, lapor Astro Awani (pautan arkib). 

'Tiada laporan berkaitan'

Carian kata kunci di Google membawa kepada siaran halaman Facebook rasmi Malaysiakini yang berkata artikel yang dikongsi dalam talian itu telah "menyalah gunakan logo" portal berita itu (pautan arkib).

"Malaysiakini tidak pernah mengeluarkan laporan berkaitan," katanya pada 12 Disember. 

Image
Tangkapan skrin kenyataan Malaysiakini di Facebook

Selain itu, artikel yang kononnya dikeluarkan Malaysiakini itu menunjukkan unsur-unsur berkemungkinan ia telah disunting. Ini termasuk kesilapan ejaan dan fon yang tidak sepadan dengan jenis digunakan di laman web Malaysiakini.

Susun atur artikel palsu itu juga berbeza dengan artikel tulen di laman web Malaysiakini. Artikel palsu mempunyai pilihan untuk menukar bahasa di atas gambar Sultan Abdullah, tetapi itu tidak dilihat dalam laporan tulen Malaysiakini. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara artikel palsu (kiri) dan laporan tulen Malaysiakini (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin antara artikel palsu (kiri) dan laporan tulen Malaysiakini (kanan)

AFP telah menafikan dakwaan salah lain yang menyunting atau mengubah laporan berita rasmi di sini dan di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami