Berita pengeluaran khas wang simpanan KWSP disunting, salah guna logo TV3
- Diterbitkan pada hari Isnin 06/01/2025 pukul 09:48
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Pengeluaran wang simpanan kwsp RM10,000 Tela dibenarkan mulai harini December 2024," bunyi siaran TikTok pada 18 Disember 2024.
Grafik yang menyertakan gambar orang ramai beratur di pusat khidmat KWSP itu memaparkan logo dan alamat laman web TV3.
Siaran yang disunting itu juga disiar di TikTok di sini dan di sini serta di Facebook.
Majoriti simpanan dalam KWSP hanya boleh dikeluarkan selepas persaraan. Namun, pada April 2022, kerajaan membenarkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk meringankan beban orang ramai dalam menghadapi wabak Covid-19 (pautan arkib).
Susulan itu, kerajaan telah diminta untuk membenarkan lebih banyak pengeluaran dan KWSP telah distruktur semula pada 11 Mei 2024 (pautan arkib).
Akaun 3, atau akaun fleksibel, diperkenalkan. Ia terdiri daripada 10 peratus jumlah simpanan ahli KWSP dan wang dalam akaun itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
Namun, TV3 dan KWSP dalam kenyataan berasingan berkata grafik yang tular itu adalah "palsu".
Grafik palsu
Carian imej terbalik di Google membawa kepada siaran di akaun rasmi TV3 pada 18 Disember 2024, dimana syarikat penyiaran itu menafikan ia menyiarkan laporan tersebut (pautan arkib).
"Mohon henti sebarkan imej palsu tersebut kerana ia adalah laporan yang tidak benar. Kepada pihak yang bertanggungjawab, henti lakukan suntingan tidak beretika dan menyebarkan berita palsu kepada orang awam," katanya.
Format grafik dalam siaran palsu itu juga tidak sama seperti yang disiarkan di laman Facebook rasmi TV3.
Grafik yang disunting itu menggunakan fon yang berbeza, mengandungi kesalahan ejaan dan tidak meletakkan tarikh. Kotak teks juga berada di atas imej, bukannya di bawah.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi grafik disunting (kiri) dan grafik tulen yang diambil dari laman media sosial TV3 (kanan):
Dalam satu kenyataan disiarkan di Facebook rasmi KWSP, ia berkata siaran itu adalah palsu dan meminta orang ramai mendapatkan info sahih di laman web dan media sosial rasminya (pautan arkib).
Carian imej terbalik di Google juga menunjukkan bahawa gambar orang ramai beratur di pusat khidmat KWSP diterbitkan oleh akhbar The Star pada Mac 2024 (pautan arkib).
Laporan itu tidak menyebut kerajaan membenarkan pengeluaran awal daripada akaun KWSP.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami