Akaun media sosial menyamar sebagai Kementerian Kesihatan jual ubat sakit sendi tak berdaftar
- Diterbitkan pada hari Selasa 31/12/2024 pukul 09:42
- Durasi bacaan 4 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Dr. Dzulkefly Ahmad menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap sakit tulang dan sendi serta mengarahkan orang ramai menggunakan ubat sakit tulang dan sendi terkenal yang diimport dari AS," bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pada 16 Disember 2024.
Siaran itu, yang dikongsi oleh akaun dengan nama "Ministry of Health Malaysia - KKM", turut menyertakan petikan kononnya ucapan daripada Dzulkefly mengenai produk itu bahawa "kesan yang dibawanya memang menakjubkan".
Tambahnya, "Feijoint Bone Gel" itu disahkan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat and berkesan merawat "sakit belakang, sakit lutut, kebas anggota badan dan mencegah komplikasi, osteoarthritis, osteoporosis."
Beberapa gambar disertakan dalam siaran palsu itu termasuk gambar sidang media oleh KKM dan gambar jarak dekat yang menunjukkan Dzulkefly dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Norhayati Rusli sedang memegang produk ubat gel tersebut.
Satu pautan dalam siaran itu membawa pengguna kepada sebuah laman web di mana gel itu boleh dibeli dengan harga RM65 sebotol.
Siaran serupa dikongsi oleh akaun yang sama di sini dan akaun lain yang turut mengandungi singkatan KKM untuk Kementerian Kesihatan mempromosikan produk yang sama kepada ratusan pengikut mereka di sini, di sini dan di sini.
KKM, bagaimanapun, berkata siaran itu "palsu" dan halaman yang berkongsi produk itu telah menyalahgunakan nama dan logo kementerian itu.
Selain itu, tiada rekod "Feijoint bone gel" ditemui dalam pangkalan data Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), menunjukkan ia tidak didaftarkan di negara ini (pautan arkib).
Akaun palsu
Carian kata kunci di Google membawa kepada kenyataan disiarkan oleh Kementerian Kesihatan di Facebook rasminya pada 19 Disember, memberi amaran kepada orang ramai tentang siaran-siaran palsu terbabit (pautan arkib).
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sebuah syarikat/entiti telah menyalahgunakan nama KKM dalam iklan penjualan dan pemasaran produk kesihatan tidak terkawal di halaman Facebook 'Ministry of Health - KKM' dan 'Kuala Lumpur Hospital KKM' serta laman sesawang yang bukan milik KKM atau fasiliti-fasiliti di bawah KKM," bunyi kenyataan itu.
Menteri Kesihatan juga menyiarkan kenyataan tentang akaun penipuan itu di halaman Facebook rasminya pada 10 Disember (pautan arkib).
"Percubaan telah dibuat berulangkali dengan menggunakan nama (akaun) yang berbeza," katanya.
Carian imej terbalik di Google pada imej-imej disertakan dalam siaran palsu itu membawa kepada gambar serupa sidang akhbar yang disiarkan di halaman Facebook rasmi KKM pada 3 Disember (pautan arkib).
Gambar-gambar tersebut bagaimanapun menunjukkan Dzulkefly atau Norhayati tidak memegang produk "Feijoint bone gel".
"YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan telah mengadakan satu sidang media khas berhubung Pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] di Putrajaya, hari ini," bunyi kapsyen siaran terbabit.
Siaran itu tidak menyebut menteri itu mengesahkan atau mempromosikan produk ubat sendi itu.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang disunting (kiri) dan gambar yang dikongsi oleh Kementerian Kesihatan (kanan):
Menurut kapsyen gambar sama yang diterbitkan oleh Bernama, menteri itu sebenarnya memegang kad kuasa pegawai kesihatan (pautan arkib).
Hasil carian imej terbalik dan kata kunci yang berasingan mendapati imej akhir dalam siaran palsu itu telah disunting daripada gambar asal Dzulkefly yang diterbitkan oleh Bernama pada 2019 (pautan arkib).
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin antara gambar yang disunting dalam siaran palsu (kiri) dan gambar Bernama (kanan):
AFP pernah menafikan dakwaan palsu lain yang dikongsi oleh akaun yang menyamar sebagai kementerian atau agensi kerajaan di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami