Imej janaan AI dikongsi sebagai gambar tulen pesawat terhempas di UAE

Dua orang terbunuh selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke dalam laut di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Disember 2024. Namun, imej yang tular di media sosial yang kononnya menunjukkan bangkai pesawat tersebut terapung di laut adalah gambar yang dijana menggunakan kecerdasan buatan. 

"Satu lagi pesawat terhempas. Kali ini di UAE. Kemalangan tragis di Ras Al Khaimah!" bunyi kapsyen siaran Facebook pada 30 Disember 2024.

"Sebuah pesawat milik Jazirah Aviation Club menjunam ke dalam laut, mengorbankan juruterbang dan pembantunya."

Siaran itu memaparkan dua imej yang menunjukkan sebuah pesawat terapung di atas air.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 3 Januari 2025

Siaran palsu itu tular selepas sebuah pesawat ringan milik Jazirah Aviation Club terhempas ke dalam laut di luar pantai Ras Al Khaimah di UAE pada 29 Disember 2024 dan mengorbankan juruterbang dan pembantu juruterbang, kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am (GCAA) negara itu (pautan arkib).

GCAA berkata ia sedang menyiasat punca nahas tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Setakat 9 Januari, ia juga tidak mengeluarkan imej nahas tersebut. 

Siaran serupa dikongsi di sini, di sini, di sini, di sini dan di sini. Ia juga tular di Filipina dan India.

Imej janaan AI 

Semakan AFP pada profil Instagram Jazirah Aviation Club menunjukkan ia mengendalikan pesawat ringan dan bukannya jet seperti digambarkan dalam siaran palsu (pautan arkib).

Menurut laman webnya, kelab itu adalah kelab pesawat mikro ringan dan sukan ringan pertama di UAE yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am. Ia memiliki 50 pesawat seperti girokopter, payung terjun berkuasa dan paramotor (pautan arkib).

Pemeriksaan lanjut dua imej tersebut mendapati ia mempunyai tera air "Grok" di bahagian bawah sebelah kanan seperti yang ditunjukkan dalam tangkapan skrin di bawah:

Image
Tangkapan skrin imej yang menunjukkan tera air "Grok".

Grok ialah chatbot kecerdasan buatan generatif yang dibangunkan oleh xAI, sebuah syarikat yang diasaskan oleh Elon Musk. Ia menggunakan Aurora, model teks ke imej untuk menjana imej daripada gesaan (pautan arkib di sini dan di sini).

Shu Hu, ketua Makmal Pembelajaran Mesin dan Forensik Media di Universiti Purdue di Amerika Syarikat menganalisis imej-imej itu dan memberitahu AFP bahawa ia jelas dimanipulasi AI.

Hu turut berkongsi dengan AFP imej yang menunjukkan kesilapan visual pada imej janaan AI itu. Beliau berkata dalam imej pertama tingkap pesawat, dalam kotak merah, tidak sejajar:

Image
Tangkapan skrin menunjukkan percanggahan dalam imej. Imej bertanda disediakan oleh Shu Hu.

"Selain itu, piksel yang bersebelahan dengan pesawat (kotak hijau) adalah samar-samar, menjadikannya tidak jelas sama ada ia sebahagian daripada pesawat itu," kata Hu.

Tambahnya, tingkap pesawat dalam imej kedua tidak sama saiz. 

Beliau juga berkata garisan badan dan tingkap pesawat itu tidak konsisten dengan apa yang akan ditunjukkan oleh gambar tulen.

"Jika ini gambar sebenar, tiga garisan itu secara amnya akan tertumpu kepada satu titik, tetapi tiga garisan dalam gambar ini tidak tertumpu pada satu titik yang sama," katanya.

Hu memberikan AFP imej bertanda yang menunjukkan herotan di bawah:

Image
Tangkapan skrin menunjukkan tingkap dan badan pesawat tidak sejajar. Imej bertanda disediakan oleh Shu Hu

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami