Laporan 'hujan ikan' di Honduras kongsi gambar lama kemalangan trak bawa ikan di China

Gambar-gambar jalan raya yang dipenuhi dengan limpahan ikan tersebar dalam laporan mengenai sebuah bandar di Honduras di mana berlakunya "hujan ikan", suatu fenomena membingungkan di mana hujan lebat menyebabkan ratusan ikan bertaburan di atas tanah. Imej itu telah dikongsi dalam konteks mengelirukan; ia sebenarnya diambil selepas pintu sebuah trak yang membawa ikan secara tidak sengaja terbuka di Guizhou, China pada 2015.

"Fenomena hujan ikan, atau Lluvia de Peces, adalah fenomena semula jadi yang membingungkan saintis sehinggakan mereka masih belum menemui penjelasan saintifik mengenainya," tulis sebahagian kapsyen pada siaran Facebook yang dikongsi pada 23 Disember 2024. 

Siaran itu menunjukkan gambar ratusan ikan bertaburan di atas jalan raya.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 14 Januari 2025

Imej-imej sama telah dikongsi dalam laporan siaran serupa di Facebook di sini dan di sini dan mula muncul sejak 2021. Ia juga disebarkan dalam bahasa Bengali

Namun, gambar terbabit telah dikongsi dalam konteks yang mengelirukan.

Carian imej terbalik di Google mendapati kedua-dua imej yang dikongsi dalam siaran mengelirukan itu pernah diterbitkan dalam laporan pada 2015 tentang ikan yang bertaburan di atas jalan raya selepas kemalangan trak di wilayah Guizhou, China.

"Pada 17 Mac 2015, apabila sebuah trak yang membawa 6.8 tan ikan keli melalui Zon Pembangunan Ekonomi Kaili, Wilayah Autonomi Qiandongnan Miao dan Dong, Wilayah Guizhou, pintu kontena itu terbuka secara tidak sengaja, menyebabkan ikan keli bertaburan di sepanjang jalan dan jalan raya kelihatan menjadi 'kolam ikan'," lapor agensi berita kerajaan China, Xinhua (pautan arkib). 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi kedua-dua imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel berita Xinhua:

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi kedua-dua imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel berita Xinhua

Syarikat berita China News juga menerbitkan gambar itu dalam laporan yang sama (pautan arkib). 

Laporan berita TV dari penyiar negara China, CCTV menunjukkan polis mengubah hala lalu lintas selepas kemalangan itu dan anggota bomba menggunakan tekanan air dari paip untuk mengumpulkan ikan ke satu tempat (pautan arkib). 

"Selepas dua jam, lebih lima tan ikan yang bertaburan dari kenderaan itu semuanya dibawa ke trak," kata wartawan CCTV.

'Hujan ikan' Honduras

Penduduk tempatan di dalam dan sekitar bandar Yoro di Honduras mendakwa kawasan itu telah "dihujani ikan" selama beberapa generasi.

Walaupun fenomena itu mendapat pelbagai penjelasan, satu teori menjelaskan bahawa hujan lebat mengeluarkan ikan yang hidup di sungai atau gua bawah tanah, yang terkandas apabila hujan lebat surut, lapor The New York Times (pautan arkib). 

"Ia berlaku setiap tahun -- sekurang-kurangnya sekali dan lebih kerap, kata penduduk," menurut laporan itu. "Apabila ribut reda, penduduk kampung mengambil baldi dan bakul dan menuju ke jalan raya ke padang rumput yang tenggelam di mana tanah akan dilitupi beratus-ratus ikan kecil berwarna perak".

"Sesetengah penduduk mengaitkan kejadian itu dengan doa Manuel de Jesús Subirana, seorang mubaligh Katolik dari Sepanyol yang pada pertengahan 1800-an, meminta Tuhan untuk membantu mengurangkan kelaparan dan kemiskinan di wilayah Yoro. Tidak lama selepas doanya, menurut legenda, hujan ikan bermula."

"Tiada siapa yang betul-betul melihat ikan jatuh dari langit, tetapi penduduk berkata itu hanya kerana tiada siapa yang berani meninggalkan rumah semasa ribut kuat yang membawa ikan itu."

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami