Ini imej penjenayah menyamar sebagai wanita di Iraq, bukan ‘pengawal penjara larikan diri’ di Syria

Selepas pihak berkuasa baharu Syria memberkas seorang pegawai yang menjatuhkan hukuman mati terhadap tahanan di bawah pemerintahan Bashar al-Assad, beberapa gambar dikongsi di media sosial dengan dakwaan ia menunjukkan seorang pengawal menyamar sebagai wanita untuk mengelak tangkapan dan melarikan diri ke negara jiran, Lubnan. Gambar itu sebenarnya menunjukkan suspek lelaki yang ditangkap di Iraq pada Jun 2023 dan September 2024.

"Penangkapan seorang pengawal tahanan di penjara kejam Saydnaya, bernama Ghazwan Mohsen, yang menyamar sebagai wanita, cuba melarikan diri ke Lubnan," bunyi sebahagian daripada kapsyen pada dua imej dikongsi di Facebook pada 1 Januari 2025 .

Gambar-gambar itu menunjukkan seorang individu yang wajahnya dikaburkan memakai pakaian wanita sambil duduk di atas sofa dan seorang lagi memakai solekan dengan rambutnya ditutup.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 9 Januari 2025

Imej itu juga dikongsi bersama dakwaan serupa di platform lain seperti di Facebook di sini dan di sini, serta di Instagram dan Telegram.

Siaran terbabit muncul selepas Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata pada 26 Disember bahawa pihak berkuasa baharu negara itu memberkas Mohammed Kanjo Hassan, seorang pegawai keadilan tentera, kerana menjatuhkan hukuman mati terhadap tahanan di penjara Saydnaya yang terkenal itu (pautan arkib).

Kanjo berkhidmat di bawah presiden Syria yang telah digulingkan, Bashar al-Assad.

Penjara Saydnaya yang terkenal sebagai lokasi penyeksaan, penghilangan paksa dan hukuman mati di luar undang-undang, menjadi simbol kekejaman pimpinan Assad terhadap penentangnya.

Tambah SOHR pada 29 Disember hampir 300 orang -- termasuk pemberi maklumat, pejuang pro-rejim dan bekas tentera -- telah ditahan dalam tindakan keras terhadap penyokong-penyokong setia Assad (pautan arkib).

Imej-imej yang dikongsi di media sosial itu, bagaimanapun, menunjukkan kejadian lain iaitu dua orang suspek lelaki yang ditangkap pihak berkuasa di Iraq sebelum berlakunya penyingkiran Assad pada 8 Disember.

Kes di Iraq

Carian imej terbalik di Google menemui salah satu gambar yang dikongsi secara salah itu dalam artikel berita yang diterbitkan oleh agensi berita bebas Iraq, Baghdad Today pada 7 Jun 2023 (pautan arkib).

Tajuknya dalam bahasa Arab itu berbunyi, "Polis Anbar Perjelas Butiran Mengenai Tangkapan 'Lelaki Menyamar Sebagai Wanita'".

Artikel itu memetik pihak berkuasa sebagai berkata lelaki terbabit memakai pakaian wanita untuk menyeluk saku di tempat yang sesak.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin gambar yang dipaparkan dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel berita Baghdad Today (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin gambar yang dipaparkan dalam siaran palsu (kiri) dan dalam artikel berita Baghdad Today (kanan)

Carian imej terbalik yang berasingan bagi imej kedua yang dikongsi secara salah itu membawa kepada satu klip disiarkan pada akaun X Al-Sharqiya TV, saluran satelit Iraq, pada 21 September 2024 (pautan arkib).

Kapsyen siaran itu berbunyi, "Polis Al-Rusafa menahan seorang individu yang menyamar sebagai wanita untuk mengaburi pemandu teksi untuk merompak, di timur Baghdad". Klip itu menunjukkan individu menanggalkan pakaian disebalik penyamaran itu. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan tangkapan skrin yang sepadan daripada akaun X TV Al-Sharqiya (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan tangkapan skrin yang sepadan daripada akaun X TV Al-Sharqiya (kanan)

Polis Al-Rusafa juga menyiarkan maklumat kes itu di halaman Facebook mereka pada 21 September 2024 (pautan arkib).

AFP telah menafikan dakwaan mengelirukan lain yang tersebar selepas penyingkiran Assad di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami