Imej janaan AI menggambarkan permainan Squid Game sebagai peristiwa benar
- Diterbitkan pada hari Khamis 16/01/2025 pukul 09:45
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Thailand, AFP Malaysia
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"SQUID GAME DI DUNIA NYATA? Khabarnya Squid Game memang wujud di dunia nyata, berdasarkan kisah benar yang terjadi pada tahun 1986," bunyi sebahagian daripada kapsyen pada beberapa imej dikongsi di Facebook pada 6 Januari 2025 .
"Sekumpulan manusia diculik dan dikurung di dalam kubu bawah tanah di sebuah tempat yang tidak diketahui di Korea Selatan. Sama seperti dalam siri Netflix, mereka ini dipaksa bermain games untuk terus survive."
Imej-imej itu menunjukkan bangunan yang bercahaya malap yang dicat dengan warna merah jambu dan hijau, manakala satu lagi gambar dalam siaran itu menunjukkan lelaki berbaju trek biru di sebuah asrama.
Imej itu turut muncul selepas Netflix menerbitkan musim kedua rancangan "Squid Game" dan dikongsi pada siaran Facebook dalam bahasa Burma, Cina, Inggeris, Indonesia, Sepanyol, Turki dan Thai.
Siri Korea Selatan itu mengisahkan pertandingan rahsia di mana sebanyak 456 pemain, kesemuanya berada dalam masalah kewangan, mempertaruhkan nyawa mereka untuk peluang memenangi hadiah wang yang lumayan (pautan arkib).
Namun, pencipta siri itu Hwang Dong-hyuk berkata dia mendapat inspirasi daripada komik Jepun.
Hwang memberitahu majalah Amerika Syarikat Variety pada 2021 yang dia mendapat inspirasi daripada komik Jepun seperti "Battle Royale" dan "Liar Game" (pautan arkib).
Pengarah siri itu turut memberitahu AFP bahawa watak utama Gi-hun telah diilhamkan oleh mogok Ssangyong di Korea Selatan.
Ssangyong, sebuah syarikat kereta yang bergelut, mengumumkan pada 2009 ia akan mengurangkan hampir 40 peratus tenaga pekerjanya. Pengumuman itu melihat pekerja syarikat tersebut menganjurkan mogok selama 77 hari yang berakhir selepas pekerja yang bersenjata lastik dan paip besi berselisih dengan polis rusuhan yang menggunakan peluru getah dan taser.
Ramai ahli kesatuan pekerja telah dipukul dengan teruk dan ada yang dipenjarakan.
"Saya ingin menunjukkan bahawa individu yang berada di kelas pertengahan boleh jatuh ke bawah tangga ekonomi dalam sekelip mata," Hwang memberitahu APF pada 2021.
Kubu bawah tanah
Carian imej terbalik di Google membawa kepada imej bangunan berwarna merah jambu dan hijau yang dikongsi dalam siaran palsu diterbitkan oleh akaun Instagram bernama "cityhermitai" pada 19 Oktober 2024 (pautan arkib).
Akaun tersebut, yang diuruskan Efe Levent, seorang penulis yang berpusat di Turki, sering berkongsi imej janaan AI (pautan arkib).
Levent memberitahu AFP pada 7 Januari bahawa dia mencipta imej-imej tersebut menggunakan alat kecerdasan buatan Midjourney.
Imej lelaki berbaju trek pula diambil daripada dokumentari Brothers Home, sebuah pusat tahanan di Busan, Korea Selatan, dimana berlaku penyalahgunaan hak asasi manusia antara 1960 dan 1992 (pautan arkib).
Carian kata kunci di Google membawa kepada dokumentari berkaitan pusat tahanan tersebut yang disiarkan di YouTube oleh akhbar Korea Selatan Busan Ilbo (pautan arkib).
Gambar tersebut muncul pada minit ke 18:55.
Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej dalam siaran palsu (kiri) dan video YouTube (kanan):
AFP telah menerbitkan panduan untuk mengesan imej yang dihasilkan oleh AI di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami