Ini imej rumah tak terkesan dalam kebakaran hutan di Hawaii, bukan 'rumah milik John Cena' di Los Angeles

Kebakaran hutan di Los Angeles pada Januari 2025 telah memusnahkan ribuan bangunan. Tetapi satu imej rumah beratap merah dikelilingi runtuhan bara dikongsi di media sosial dengan dakwaan ia terselamat daripada kebakaran kerana pemiliknya adalah pelakon Hollywood yang memeluk agama Islam. Gambar rumah yang tidak terjejas itu sebenarnya diambil selepas kebakaran melanda bandar Lahaina di Hawaii pada Ogos 2023. Media Amerika Syarikat melaporkan pada masa itu bahawa faktor pengubahsuaian mungkin telah membantu menjadikannya kalis api.

"Kuasa Allah! hanya tinggal satu rumah saja yang Allah tidak bakar, rumah John Cena yang memeluk agama islam," tulis kapsyen pada imej yang dikongsi di Facebook pada 13 Januari 2025, dalam kumpulan yang mempunyai lebih 500,000 ahli.

Gambar itu menunjukkan sebuah rumah beratap merah tidak mengalami kerosakan di sebuah kawasan kejiranan yang kelihatan musnah dalam kejadian kebakaran. Siaran itu turut memasukkan dua gambar yang menunjukkan pelakon Hollywood, John Cena. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 16 Januari 2025

Imej yang sama telah dikongsi di kumpulan Facebook di sini dan di sini, serta dalam siaran berbahasa Thai. Siaran Filipina berkongsi imej itu bersama dakwaan sama tetapi mengatakan pemiliknya beragama Kristian.

Siaran palsu terbabit muncul ketika kebakaran hutan yang marak merebak sehingga menjejaskan beberapa komuniti di Los Angeles. Sekurang-kurangnya 24 orang terkorban dan menyebabkan lebih 90,000 orang hilang tempat tinggal (pautan arkib).

Pakar penyiasatan sedang mengumpulkan maklumat dalam usaha mencari punca kebakaran agar dapat memberi jawapan kepada mangsa. Walaupun siasatan masih berjalan, media sosial dipenuhi dengan lambakan video yang berkongsi pelbagai dakwaan tidak berasas.

Walaupun kebakaran hutan boleh dinyalakan dengan sengaja, ia selalunya boleh berlaku secara semula jadi dan merupakan bahagian penting dalam kitaran hayat alam sekitar. 

Imej yang beredar dalam talian itu, bagaimanapun, bukannya diambil semasa bencana berlaku di bandar kedua terbesar Amerika itu dan rumah tidak terjejas itu bukannya milik John Cena. 

Kebakaran hutan Maui

Carian imej terbalik di Google membawa kepada gambar serupa pernah diterbitkan dalam artikel New York Post dan BBC (pautan arkib di sini dan di sini). Gambar itu diedarkan oleh AFP.

Sebahagian kapsyen dalam arkib AFP itu berbunyi: "Imej pandangan dari udara menunjukkan sebuah rumah beratap merah terselamat daripada kebakaran yang dikelilingi rumah-rumah dan bangunan lain yang musnah dalam kebakaran hutan di barat Maui di Lahaina, Hawaii pada 10 Ogos 2023."

Kebakaran yang melanda Hawaii pada Ogos 2023 itu adalah yang paling maut melanda Amerika Syarikat dalam tempoh satu abad, meragut sekurang-kurangnya 115 nyawa (pautan arkib).

Bandar pelancongan Lahaina, yang menempatkan 12,000 orang penduduk, semuanya telah terhapus dalam peta.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin imej palsu (kiri) dan gambar AFP (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin imej palsu (kiri) dan gambar AFP (kanan)

Akhbar Los Angeles Times memetik Dora Atwater Millikin, yang memiliki rumah itu bersama suaminya, sebagai berkata mereka baru-baru ini mengubah suai rumah tetapi bukan bertujuan menjadikannya kalis api (pautan arkib).

Mereka menggantikan bumbung yang mengandungi bahan asfalt dengan logam tolok berat dan membuang daun-daun atas rumah mereka. Pengubahsuaian berkesan dalam menjadikan rumah itu kalis api, lapor akhbar itu. 

Selain itu, hasil carian kata kunci di Google tidak menemui sebarang kenyataan umum atau laporan yang boleh dipercayai yang mengesahkan John Cena pernah memeluk Islam.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami