Ini video pesawat pemadam kebakaran terhempas di Chile pada 2024, bukan di Los Angeles

Video yang menunjukkan pesawat pemadam kebakaran terhempas di Chile tular di media sosial dengan dakwaan salah ia menggambarkan pesawat di Los Angeles terhempas di atas jalan raya. Rakaman dramatik itu telah disiarkan dalam laporan berkenaan sebuah pesawat yang terjunam di kawasan Maule di Chile pada Januari 2024, sebelum kebakaran hutan di Amerika Syarikat.

"Sebuah pesawat pemadam kebakaran terhempas dan terbakar ketika memadam api di LOS ANGELAS USA," bunyi siaran Facebook dikongsi pada 13 Januari 2025. 

Video yang telah meraih lebih 150,000 tontonan itu menunjukkan sebuah pesawat berpusing sebelum jatuh terjunam, terhempas ke jalan raya dan terbakar. 

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook, diambil pada 16 Januari 2025

Klip itu tersebar dalam siaran sama di Facebook di sini dan di sini ketika kebakaran hutan besar dilaporkan telah memusnahkan rumah dan kawasan kejiranan di sekitar Los Angeles, selain memaksa ribuan orang berpindah. 

Kebakaran di bandar kedua terbesar di Amerika itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 27 orang terkorban dan kawasan besar bandar itu musnah (pautan arkib).

Walaupun sebuah pesawat pemadam kebakaran dilaporkan telah dihentikan operasinya apabila bertembung dengan sebuah dron haram pada 9 Januari lalu, tiada laporan rasmi mengenai mana-mana pesawat yang melawan kebakaran itu terhempas (pautan arkib).

Kejadian di Chile

Carian imej terbalik di Google pada video yang dikongsi dengan dakwaan salah itu menemui klip serupa disiarkan di halaman Facebook rasmi berita Australia, 9News pada 17 Januari 2024 (pautan arkib).

AFP mendapati video salah terbabit merupakan versi cerminan kepada klip disiarkan 9News itu. 

"Sebuah pesawat pemadam kebakaran telah melanggar wayar elektrik dan terjunam ke lebuh raya utama di Chile, meragut nyawa juruterbang manakala empat orang awam cedera," bunyi kapsyen video 9News. 

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi video cerminan yang dikongsi secara salah dalam talian (kiri) dan klip oleh 9News (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi video cerminan yang dikongsi secara salah dalam talian (kiri) dan klip oleh 9News (kanan)

Pelbagai agensi berita berkongsi rakaman dalam laporan-laporan mereka mengenai nahas terbabit, termasuk syarikat penyiaran awam Turki TRT World, akhbar Britain Telegraph dan Al Jazeera (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Menurut laporan terbabit, bencana itu berlaku dekat Panguilemo Aerodrome di wilayah Maule Chile pada 15 Januari 2024.

Imej Google Street View yang menunjukkan jalan raya berhampiran aerodrome itu sepadan dengan rakaman nahas terbabit (pautan arkib).

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin video nahas pesawat (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan elemen yang sepadan ditanda AFP:

Image
Perbandingan tangkapan skrin video nahas pesawat (kiri) dan imej Google Street View (kanan), dengan elemen yang sepadan ditanda AFP

AFP telah menafikan dakwaan palsu lain mengenai kebakaran hutan di Los Angeles di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami