Ini gambar lintasan haiwan di Singapura, bukan 'jambatan hidupan liar di Belanda'

Jambatan laluan haiwan di Singapura dibina bagi membantu haiwan liar melintas dengan selamat antara dua hutan simpan telah dikongsi dengan dakwaan salah ia adalah satu daripada 600 jambatan dibina di Belanda untuk tujuan sama. Pihak berkuasa Belanda memberitahu AFP negara itu mempunyai 46 lintasan hidupan liar yang dikenali sebagai "ecoducts".

"Di Belanda, lebih 600 jambatan dan laluan semula jadi telah dibina untuk membantu haiwan melintas jalan dengan selamat. Inisiatif ini menunjukkan komitmen negara untuk melindungi hidupan liar dan mengurangkan kemalangan akibat jalan yang melintasi laluan haiwan," bunyi siaran Facebook disiar pada 3 Januari 2025. 

Siaran itu menyertakan satu imej pandangan udara sebuah jambatan yang dilitupi tumbuh-tumbuhan dan menghubungkan hutan belantara yang dipisahkan oleh sebuah lebuh raya.

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 15 Januari 2025

Dakwaan itu dikongsi di Facebook di sini, di sini dan di sini.

AFP sebelum ini menafikan dakwaan serupa yang telah diedarkan dalam bahasa Perancis sejak 2021.

Lintasan hidupan liar adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Belanda untuk memerangi pemecahan ekosistem yang disebabkan oleh infrastruktur seperti lebuh raya dan landasan kereta api yang mewujudkan halangan untuk haiwan merentasi habitat mereka (pautan arkib).

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Kementerian Sumber Air Belanda pada Mei 2023, negara itu mempunyai kira-kira 80 lintasan sedemikian (pautan arkib).

Negara itu mempunyai 46 lintasan hidupan liar yang dipanggil "ecoducts" serupa jambatan dalam imej yang beredar itu, seorang jurucakap Direktorat Jeneral Kerja Raya dan Pengurusan Air Belanda memberitahu AFP pada 15 Januari 2025.

Gambar itu, bagaimanapun, bukan diambil di Belanda.

Lintasan haiwan Singapura

Carian imej terbalik di Google menemui gambar serupa yang diterbitkan di laman web Lembaga Taman Negara (NParks) Singapura, pada sebuah halaman tentang jambatan ekologi yang melintasi Lebuhraya Bukit Timah (pautan arkib).

"Eco-Link@BKE ialah sebuah jambatan ekologi yang menghubungkan Lebuhraya Bukit Timah (BKE). Ia membolehkan haiwan menyeberangi dengan selamat antara Hutan Simpan Bukit Timah dan Rizab Alam Semula Jadi Pusat Tadahan, membolehkan hidupan liar mengembangkan habitat dan takungan gen mereka serta meningkatkan peluang hidup," tulis keterangan di laman web itu. 

"Kedua-dua rizab alam semula jadi itu pernah dihubungkan sebelum BKE dibina pada 1986," tambahnya.

Di bawah ialah perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan gambar NParks (kanan):

Image
Perbandingan tangkapan skrin bagi imej yang digunakan dalam siaran palsu (kiri) dan gambar Lembaga Taman Negara Singapura (kanan)

Lintasan hidupan liar itu juga boleh dilihat di Peta Google (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin imej satelit menunjukkan Eco-Link@BKE Singapura

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami