Jurnal perubatan disalahguna dalam siaran palsu dakwa vaksin Covid-19 penyebab autisme

Maklumat salah yang mengaitkan autisme dengan vaksinasi telah tersebar sejak beberapa dekad. Baru-baru ini maklumat itu dikongsi semula dengan dakwaan satu kertas kajian saintifik diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 adalah penyebab autisme. Namun, pemeriksaan AFP mendapati kertas kajian itu hanya menyatakan kelaziman dan beban kesihatan autisme. 

"KAJIAN TELAH MEMBUKTIKAN VAKSIN PUNCA AUTISM!" bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook pada 26 Disember 2024.

"Kajian Global Burden of Disease (GBD) mendapati negara yang diberi vaksin tinggi mengalamipeningkatan besar dalam diagnosis gangguan spektrum autisme(ASD)," tambahnya. 

"Penyelidik mendapati kes ASD yang semakin meningkat bermula pada 2021 selepas 'vaksin' dilancarkan untuk kegunaan awam."

Pemberian vaksin Covid-19 bermula pada Februari 2021 dan pada Februari 2022, ia juga diberikan kepada kanak-kanak berumur lima tahun dan ke atas. 

Siaran Facebook itu juga menyertakan tangkapan skrin artikel Kosmo yang bertajuk: "Kadar kelahiran anak autisme meningkat di Malaysia, dunia".

Image
Tangkapan skrin siaran palsu diambil pada 15 Januari 2025

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) autisme adalah gangguan perkembangan saraf yang melibatkan gangguan dalam komunikasi, perilaku dan fungsi sosial. Ia dipercayai dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran, walaupun saintis tidak memahami sepenuhnya semua puncanya (pautan arkib). 

Maklumat salah yang mengaitkan vaksinasi dengan autisme telah tersebar sekian lama, terutamanya selapas satu kajian yang mengaitkan autisme dengan pemberian vaksin campak, beguk dan rubella (MMR). Kajian itu kemudiannya telah disangkal.

Siaran palsu Facebook itu turut dikongsi di sini dan di sini selepas Malaysia melaporkan peningkatan sebanyak 815 peratus dalam bilangan kanak-kanak yang didiagnosis dengan autisme antara 2013 dan September 2024 (pautan arkib).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), yang mengeluarkan angka itu, tidak membuat spekulasi mengenai sebab di sebalik peningkatan itu -- tetapi saintis berkata penambahbaikan saringan dan pengembangan kriteria diagnostik boleh menjadi sebab peningkatan tersebut. 

"Faktor lain, seperti komplikasi pranatal dan perinatal, pendedahan kepada toksin persekitaran dan jangkitan ibu semasa kehamilan, juga telah dikaji sebagai penyumbang berpotensi kepada perkembangan autisme," menurut Institut Perubatan Neurofizik Drake yang berpangkalan di Amerika Syarikat (pautan arkib).

Tiada kaitan langsung 

Carian kata kunci di Google mendapati laporan yang diterbit dalam The Lancet dikongsi secara salah dalam siaran Facebook. 

Jurnal itu menerbitkan kajian bertajuk "The global epidemiology and health burden of the autism spectrum: findings from the Global Burden of Disease Study 2021" pada 19 Disember 2024.

Ia meringkaskan penemuan mengenai kelaziman autisme dan bebannya terhadap sistem kesihatan. Kajian itu juga menekankan keperluan pengesanan awal dan perkhidmatan sokongan sepanjang hayat bagi mereka yang terjejas. Ia langsung tidak menyentuh tentang Covid-19 atau vaksin.

Dr Norazlin Kamal Nor, pakar perunding kanan pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia -- yang tidak terlibat dalam penyelidikan The Lancet -- berkata kajian itu "tidak mencadangkan kaitan atau hubungan antara vaksin Covid-19 dan gangguan spektrum autisme sama sekali" (pautan arkib). 

Laporan itu menunjukkan kelaziman spektrum autisme adalah tinggi, katanya, dengan 788.3 setiap 100,000 orang terjejas -- dan autisme membawa kepada kos yang tinggi dari segi beban kesihatan.

"Maklumat ini bertujuan membantu merancang peruntukan kesihatan untuk membantu individu autistik," katanya kepada AFP. 

Tambahan pula, laporan Kosmo yang dikongsi dalam siaran Facebook tidak menyebut Covid-19 atau vaksin (pautan arkib).

Artikel yang diterbit pada 10 Mei 2024 menampilkan pakar kesihatan keluarga yang memberikan maklumat tentang cara mendiagnosis autisme dan cara ibu bapa boleh membantu kanak-kanak yang terjejas.

Menurut WHO, kesan serius atau jangka panjang adalah jarang selepas pengambilan vaksin Covid-19. 

Kesan sampingan umum termasuk sakit di tempat suntikan, demam, keletihan, sakit kepala, sakit otot, menggigil dan cirit-birit, katanya.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami