Pengilang produk frankfurter ayam pegang sijil halal JAKIM dan bukan syarikat 'penternak babi'

Frankfurter atau sosej ayam jenama Rahmat tidak dikeluarkan oleh syarikat "penternak babi terbesar" di Melaka, bertentangan dengan dakwaan palsu di media sosial yang berulang kali muncul sejak 2019. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan sosej itu dikilangkan bagi pihak syarikat milik Muslim oleh sebuah syarikat penternak ayam yang memegang sijil halal yang sah sehingga 2026. 

Tangkapan skrin WhatsApp yang menunjukkan imej paket frankfurter atau sosej ayam jenama Rahmat telah dikongsi di Facebook pada 23 Disember 2024.

"Keluaran Leong Hup, penternak babi terbesar di Melaka," bunyi teks dibawah imej itu. "terkesima dia punya nama.. Jenama pun 'Rahmat', label siap warna hijau & seakan2 Islamik jika sekali pandang. 2 kali pandang dia punya kilang ... Rupa2nya bukan keluaran produk Muslim," tambah dakwaan itu lagi. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 10 Februari 2025

Dakwaan berkenaaan sosej ayam jenama Rahmat itu turut dikongsi dalam kumpulan Facebook yang mempunyai lebih 141,000 ahli, serta di platform lain di sini dan di sini.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak berasas -- carian kata kunci Google mendapati Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pernah menafikannya dalam siaran Facebook pada Disember 2019 (pautan arkib).

Persetujuan bersama pengilang

Seorang jurucakap JAKIM mengesahkan pada 10 Februari bahawa kenyataan pada 2019 itu masih sah. 

Menerusi kenyataan itu, JAKIM menjelaskan Leong Hup Agrobusiness bertindak selaku "Original Equipment Manufacturer" (OEM) kepada syarikat Mantap Eksklusif bagi pengeluaran frankfurter jenama Rahmat. Jenama itu dinamakan sempena nama pengarahnya, Rahmat bin Ibrahim.

"Nama jenama 'Rahmat' dan warna pembungkusan hijau adalah secara umumnya berdasarkan persetujuan bersama oleh pengilang dan pihak syarikat Mantap Eksklusif.

"Syarikat Leong Hup Agrobusiness Sdn Bhd, syarikat berkelompok di bawah Leong Hup (Malaysia) dan anak syarikat Leong Hup International tiada kena-mengena dengan penternakan babi," tulis kenyataan itu. 

Agensi itu mengulangi penjelasan sama dalam siaran Facebook lain pada November 2023 (pautan arkib).

Carian kata kunci mendapati Leong Hup International sebenarnya adalah sebuah syarikat yang berpangkalan di Malaysia yang merupakan pengeluar ayam, telur dan makanan ternakan (pautan arkib).

Semakan pada pangkalan data Halal Malaysia menunjukkan pensijilan halal produk itu sah sehingga sekurang-kurangnya Ogos 2026 (pautan arkib ini dan ini).

Image
Tangkapan skrin laman web Halal Malaysia menunjukkan pensijilan halal sah sosej Rahmat

AFP telah menafikan dakwaan serupa yang menyasarkan produk lain seperti minyak masak, produk minuman teh dan juga rangkaian kopi antarabangsa Starbucks.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami