Tiada amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Bintulu

Amaran tsunami tidak dikeluarkan di Bintulu, Sarawak pada Januari 2025 seperti yang didakwa di media sosial. Berita palsu itu tular selepas gempa bumi lemah dilaporkan di Ranau, Sabah. Video-video yang dikongsi bersama dakwaan itu menunjukkan bangunan yang ditenggelami air banjir, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. 

"Moga dipermudahkan anakku & anak2 semua di UPM Bintulu...dah dapat amaran tsunami. Moga air surut cepat dan kembali setiakala," bunyi kapsyen siaran Facebook pada 29 Januari. 

Siaran itu menyertakan kompilasi video yang menunjukkan sebuah bangunan di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu dinaiki air (pautan arkib). 

Universiti itu turut berkongsi mengenai kerosakan yang dialami akibat banjir di laman Facebooknya pada 6 Februari (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 10 Februari 2025

Dakwaan serupa juga disiarkan pada 29 Januari di sini dan di sini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan satu gempa bumi lemah telah dikesan dekat kawasan perairan Ranau pada 29 Januari, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan. 

Jika tsunami dikesan, sistem amaran awal yang dibangunkan oleh jabatan kaji cuaca itu selepas peristiwa tsunami 2004, akan menghantar amaran kepada telefon mudah alih, menyiarkan amaran itu di radio dan televisyen serta turut mengeluarkan amaran di sekitar kawasan pantai (pautan arkib di sini, di sini dan di sini).

Pada 29 Januari, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan untuk tiga hari sehingga 31 Januari (pautan arkib).

Portal Suara Sarawak melaporkan ahli parlimen Bintulu Tiong King Sing sebagai berkata banjir di daerah itu berpunca daripada kelemahan sistem saliran serta kegagalan melaksanakan projek pedalaman dan pelebaran Sungai Sibiew (pautan arkib). 

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), seramai 2,464 orang daripada 763 buah keluarga terjejas banjir di Sarawak, setakat 9 Februari (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami