![](/sites/default/files/medias/factchecking/g2/2025-02/afe07a4c1f47f7e4d4470ec7f32ee8de.jpeg)
Klip pengawal peluk Islam dirakam pada 2023, bukan dimotivasikan kebakaran LA
- Diterbitkan pada hari Jumaat 14/02/2025 pukul 09:03
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Indonesia
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia , Najmi Mamat
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Polis Los Angeles (LA) masuk Islam di Masjid At Thohir," bunyi kapsyen siaran Facebook dikongsi pengguna berpangkalan di Malaysia pada 14 Januari 2025.
Video itu menunjukkan seorang imam membimbing seorang lelaki berpakaian seragam polis melafazkan kalimah syahadah.
Ia muncul di media sosial seperti X dan Instagram sekitar kebakaran liar di Los Angeles dan juga dalam siaran Indonesia yang mendakwa pegawai polis itu masuk Islam selepas menyaksikan "rumah orang Muslim tidak tersentuh api".
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/daeaf053946b5bff053a9b85cec5e908.jpeg?itok=dY1Y3ake)
Kebakaran liar yang berterusan selama lebih tiga minggu di California Selatan pada Januari 2025 meragut kira-kira 30 nyawa dan menyebabkan ribuan orang lain terpaksa berpindah (pautan arkib).
Kebakaran di Palisades dan Eaton adalah yang paling teruk dilaporkan dalam sejarah Los Angeles County, membakar lebih daripada 37,000 ekar (150 kilometer persegi) dan lebih 10,000 rumah, selain kerosakan dianggarkan menelan belanja ratusan bilion dolar.
Video yang beredar dalam talian itu, bagaimanapun, telah dirakam setahun sebelum kebakaran hutan di LA.
Terdahulu, kebakaran liar itu juga mencetuskan dakwaan salah lain, yang disangkal oleh AFP, mengenai "rumah ajaib" yang kononnya kalis api kerana kepercayaan agama pemiliknya.
Video peluk Islam
Carian imej terbalik di Google menemui rakaman yang sama pernah disiarkan di Instagram pada 5 November 2023 (pautan arkib).
"Alhamdulillah tiba2 orang amerika masuk masjid At-thohir minta masuk Islam," bunyi kapsyen siaran itu.
Teks pelekat pada video itu berkata lelaki itu merupakan seorang pengawal keselamatan.
![](/sites/default/files/styles/image_in_article/public/medias/factchecking/g2/2025-02/cf6cf94838488dbbc9545c7942d6ee71.jpeg?itok=KqDW3WuW)
Masjid At-Thohir terletak di Los Angeles (pautan arkib). Gambar-gambar bahagian dalam masjid itu yang dikongsi di Google Maps juga sepadan dengan apa yang ditunjukkan dalam video itu (pautan arkib).
Rakaman itu pada asalnya disiarkan oleh Uya Kuya, seorang pengamal media Indonesia yang menjadi ahli dewan perwakilan rakyat pada 2024.
Klip yang disiarkan adalah sebahagian daripada video yang berdurasi lebih panjang yang menunjukkan pengawal keselamatan itu memeluk Islam.
Video itu juga menunjukkan satu kain rentang tentang hari memperingati Mochamad Thohir, bapa kepada Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia Erick Thohir pada 4 dan 5 November 2023, menurut saluran berita negara itu Republika (pautan arkib).
Akhbar itu melaporkan pada 5 November 2023 bahawa penukaran agama berlaku semasa hari peringatan itu.
AFP telah menafikan maklumat salah lain tentang kebakaran liar di LA di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami