
KKM larang jualan produk penjagaan kulit 'bebas kimia' mengandungi merkuri
- Diterbitkan pada hari Khamis 20/02/2025 pukul 09:31
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Kebaikan guna PINKKISS BEAUTY skincare ..," bunyi sebahagian siaran yang dikongsi dalam kumpulan Facebook yang mempunyai lebih daripada 64,000 ahli pada 6 Februari 2025.
Siaran itu mendakwa produk penjagaan kulit jenama itu membantu merawat dan mencerahkan kulit, "bebas kimia" dan "lulus KKM".
Gambar yang disertakan menunjukkan produk itu dijual dalam set yang mengandungi lima produk, termasuk sabun dan krim muka. Imej yang kononnya menunjukkan gambar pengguna sebelum dan selepas menggunakan produk itu juga disertakan.

Produk tersebut telah diiklankan dalam siaran Facebook yang serupa di sini dan sini.
Namun, KKM telah melarang penjualan dua produk krim muka Pinkkiss Beauty selepas mendapati krim itu mengandungi bahan kimia yang berbahaya.
Krim mengandungi bahan larangan
Dalam kenyataan di Facebook rasminya pada 5 Februari, KKM berkata Pinkkiss Beauty Care Herbal Cream mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate, manakala Pinkkiss Beauty Care Treatment Cream mengandungi tretinoin, betamethasone 17-valerate dan hydroquinone (pautan arkib).
Merkuri boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang dan masalah saraf manakala produk yang mengandungi tretinoin, betamethasone 17-valerate dan hydroquinone hanya boleh digunakan dengan nasihat pakar perubatan.

"Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta merta," ujar KKM.
Kementerian itu juga memberi amaran sesiapa yang didapati menjual atau mengedar produk itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tiga tahun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (pautan arkib).
KKM juga memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menggunakan produk tersebut.
Kesan sampingan teruk
Walaupun merkuri boleh membantu mengurangkan pigmentasi, penggunaannya sangat berbahaya kerana ia boleh meresap ke dalam darah dan ia boleh mengeluarkan wap, kata Dr Felix Yap Boon Bin, pakar dermatologi di Pusat Perubatan Sunway Malaysia (pautan arkib).
"Ia boleh mendatangkan masalah kepada pengguna dan orang sekeliling, terutamanya kanak-kanak. Orang yang berkongsi perkakas dan pakaian atau tuala juga boleh terjejas. Ia membawa kepada ketoksikan saraf dan otak seperti kebas, hilang ingatan dan mudah marah," kata Yap.
Tambahnya, tretinoin, betamethasone 17-valerate dan hydroquinone hanya boleh digunakan dengan preskripsi doktor kerana ia menyebabkan kesan sampingan seperti pigmentasi pada kulit, kanser, sensitiviti cahaya matahari dan penipisan kulit.
"Berhati-hati dengan iklan dalam talian dan nasihat yang diberikan oleh pakar kecantikan atau individu tanpa pengetahuan atau kelayakan perubatan," kata Yap. "Dapatkan nasihat daripada pakar dermatologi yang berpengalaman untuk mengatasi masalah kulit."
Senarai pakar dermatologi yang berkelayakan boleh didapati di laman web Persatuan Dermatologi Malaysia (pautan arkib).
AFP sebelum ini telah menafikan siaran palsu berkaitan dengan keselamatan pengguna di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami