PDRM dan Bank Islam beri amaran tentang siaran penipuan 'loteri dalam talian'

Bank Islam berkata siaran Facebook yang mendakwa ia menawarkan loteri dalam talian di mana para pelanggan berpeluang memenangi hadiah lumayan adalah "palsu" dan menyalahgunakan nama dan imej mereka. Polis berkata siaran itu membawa pengguna ke paparan utama yang menyerupai laman web rasmi bank itu dan meminta butiran perbankan dalam talian. Siaran itu turut memaparkan gambar yang diambil pada September 2023 ketika acara penyampaian hadiah kepada pemegang akaun pelaburan bank itu. 

"Tahniah kepada Pelanggan Setia Bank Islam malaysia Berhad. Kami menyediakan banyak hadiah wang tunai untuk Cikgu!" bunyi kapsyen pada siaran Facebook yang disiar pada 21 Januari 2025. 

Siaran itu juga mendakwa hadiah utama termasuk wang berjumlah RM18 juta, sebuah motorsikal Harley Davidson Road Glide dan kereta jenis BMW. 

Imej yang disertakan dalam siaran itu menunjukkan pemenang memegang cek cura berlatarbelakangan kain rentang logo Bank Islam dan satu grafik yang menunjukkan semua hadiah yang ditawarkan.

Pengguna kemudiannya diajak untuk klik satu pautan dalam siaran itu atau dalam bio pada halaman Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk mendaftar loteri palsu itu. 

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 13 Februari 2025

Siaran serupa yang mempromosikan loteri yang kononnya dianjurkan oleh Bank Islam juga dikongsi di tempat lain di Facebook di sini, di sini dan di sini.

Namun, Bank Islam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran bahawa siaran terbabit adalah satu penipuan.

AFP sebelum ini telah menafikan siaran penipuan serupa yang menyamar sebagai agensi kerajaan yang kononnya menawarkan pinjaman dan lesen memandu percuma.

'Akaun palsu'

Carian kata kunci di Google membawa kepada siaran diterbitkan di halaman Facebook rasmi Bank Islam pada 3 Februari 2025, yang memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan "akaun palsu" menggunakan nama dan logo bank itu dalam talian (pautan arkib).

"Jika anda mengesyaki bahawa anda telah menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Bank Islam untuk mendapatkan bantuan atau hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di 997," bunyi kenyataan itu.

Siaran Bank Islam itu juga menyertakan satu tangkapan skrin siaran palsu dari 20 Januari yang melabelkannya sebagai "palsu". 

Image
Tangkapan skrin mesej yang disiarkan di halaman Facebook rasmi Bank Islam

Bank Islam dalam satu kenyataan pada 9 Februari berkata semua kempen anjuran bank itu akan hanya dipromosikan menerusi saluran rasmi mereka (pautan arkib). 

"Kami tidak akan meminta maklumat peribadi atau sensitif pelanggan seperti nombor akaun, kata laluan, atau kod OTP melalui laman web mahupun akaun media sosial bagi sebarang kempen yang dijalankan," katanya. 

Pautan yang disertakan dalam siaran palsu itu tidak lagi boleh diakses tetapi, menurut kenyataan PDRM, seorang mangsa penipuan itu yang klik pada pautan terbabit telah dibawa ke sebuah paparan utama yang menyerupai laman web rasmi Bank Islam dan diminta memasukkan butiran perbankan dalam talian (pautan arkib).

Cabutan bertuah

Carian imej terbalik bagi gambar yang digunakan dalam siaran palsu itu membawa kepada satu artikel Sinar Harian yang diterbitkan pada 22 Februari 2023 (pautan arkib).

Menurut artikel itu, Bank Islam telah menganjurkan majlis penyampaian hadiah cabutan bertuah yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur kepada pemegang akaun pelaburan Al-Awfar. 

Pemegang akaun itu layak mendapat hadiah cabutan bertuah bergantung kepada jumlah wang deposit dan sama ada mereka mengekalkan baki akaun minimum (pautan arkib).

Carian imej terbalik yang berasingan bagi grafik digunakan dalam siaran palsu itu membawa kepada halaman rasmi Instagram Bank Islam, yang berkongsi grafik serupa pada 22 September 2023 (pautan arkib).

Versi yang dikongsi dalam siaran palsu itu, bagaimanapun, mempunyai beberapa elemen yang diubah termasuk teks yang menyatakan hadiah lumayan tertera adalah untuk pemegang akaun Al-Awfar dan satu logo yang menunjukkan ia telah dikongsi pada 2023.

Image
Perbandingan tangkapan skrin grafik dikongsi secara palsu (kiri) dan grafik dikongsi oleh Bank Islam pada September 2023 (kanan), dengan elemen yang diubah ditandakan AFP

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami