
Pemberian vaksin influenza percuma cetus dakwaan 'depopulasi'
- Diterbitkan pada hari Isnin 03/03/2025 pukul 09:18
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"PAKSA VAKSIN INFLUENZA DAH MULA. SURAT PEKELILING DAH KELUAR. SELAMATKAN MAK AYAH KITA. JGN VAKSIN. LAWAN!!!!!," bunyi sebahagian kapsyen siaran Facebook pada 9 Februari.
Siaran itu mendakwa tujuan KKM memberikan vaksin percuma kepada golongan berisiko tinggi itu adalah untuk "depopulasi warga tua dunia sebelum 2030".
Siaran itu juga melampirkan satu tangkapan skrin surat pekeliling KKM yang mengumumkan program vaksinasi itu.

Dakwaan serupa juga muncul di tempat lain di Facebook termasuk dalam kumpulan dengan lebih 144,000 ahli.
Namun, surat pekeliling KKM itu tidak menyatakan bahawa program vaksinasi influenza yang akan dilaksanakan untuk warga emas sebagai wajib.
"Program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi," kata KKM dalam satu kenyataan media di Facebook rasminya pada 10 Februari (pautan arkib).
Vaksinasi percuma itu diberikan kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia atau penyakit buah pinggang kronik.
"Program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada komplikasi serius akibat influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian," tambah kenyataan itu.
Dr Malina Osman, pakar kesihatan awam di Universiti Putra Malaysia memberitahu AFP pada 28 Februari bahawa "vaksin itu adalah selamat, seperti yang diterbitkan dalam laporan perubatan" (pautan arkib).
"Vaksin selesema terbukti selamat. Kesan sampingan yang teruk sangat jarang berlaku," kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu halaman maklumat (pautan arkib).
Orang ramai mungkin masih dijangkiti selesema walaupun telah divaksin kerana suntikan itu khusus untuk jenis virus tertentu, tambah WHO.
"Walau bagaimanapun, suntikan vaksin meningkatkan peluang terlindung daripada selesema. Ini amat penting bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah."
AFP telah berulang kali menafikan maklumat salah mengenai vaksinasi influenza serta dakwaan yang mendakwa suntikan itu bertujuan mengurangkan populasi.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami