
Gambar ketua pesuruhjaya SPRM ziarah bekas PM Ismail Sabri di hospital disunting
- Diterbitkan pada hari Khamis 06/03/2025 pukul 09:31
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Imej itu dikongsi di TikTok pada 26 Februari. Ia menunjukkan Ismail Sabri terbaring di atas katil hospital, manakala ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki bersama dua pegawai lain memandang ke arah bekas pemimpin itu.
Teks di atas imej itu berbunyi, "Kami datang ni hanya untuk ziarah kasih je", seolah-olah merujuk kepada Ismail Sabri yang dimasukkan ke hospital hanya beberapa hari selepas beliau disoal siasat oleh SPRM pada 19 Februari (pautan arkib di sini dan di sini).
SPRM berkata agensi itu sedang menyiasat Ismail Sabri berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh beliau menjadi perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Pada 3 Mac, SPRM berkata Ismail Sabri kini adalah suspek dalam kes itu (pautan arkib).

Imej yang seolah-olah menunjukkan pegawai SPRM berdiri di sebelah katil Ismail Sabri itu turut muncul di Facebook di sini, di sini dan di sini.
Tetapi agensi antirasuah itu berkata imej itu telah dimanipulasi dan melabelkan siaran itu sebagai "palsu".
Gambar disunting
Carian imej terbalik Google menemui siaran oleh SPRM pada halaman Facebook rasmi pada 27 Februari yang memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan imej yang disunting itu (pautan arkib).
"Ia telah dimanipulasi dengan tujuan mengelirukan orang ramai. SPRM menyeru semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan dan salah faham," kata siaran itu.
Carian imej terbalik dan kata kunci di Google menemui gambar bekas perdana menteri itu di hospital telah dimanipulasi dengan menambah imej ketua SPRM.
Setiausaha akhbar Ismail Sabri berkongsi gambar tulen bekas pemimpin itu berada di hospital di Facebook pada 22 Februari, tetapi siaran itu telah dipadam.
"Beliau masih memerlukan pemerhatian rapi daripada doktor di sebuah hospital di Damansara. Doktor tidak membenarkan beliau untuk menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatan beliau kembali pulih," tulis sebahagian kapsyen siaran itu.
Imej itu juga diterbitkan dalam laporan media tempatan mengenai kemasukannya ke hospital, seperti Bernama (pautan arkib).

Gambar tiga orang pegawai SPRM itu diambil dari akhbar Berita Harian, di mana ia diterbitkan dalam satu laporan mengenai Azam merasmikan pejabat baharu pada 25 April 2024 (pautan arkib).
Imej asal SPRM itu telah diletakkan kesan cerminan padanya sebelum dicantumkan ke dalam imej disunting itu.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami