Gambar 'kampung Poland dengan pemandangan luar biasa' ini hasil janaan AI

  • Diterbitkan pada hari Jumaat 07/03/2025 pukul 10:18
  • Durasi bacaan 3 minit
  • Oleh: AFP Thailand
  • Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Satu imej menunjukkan sebuah perkampungan yang indah dengan rumah dibina di sepanjang jalan utama dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan bukannya diambil di Poland seperti didakwa di media sosial. Seorang pakar memberitahu AFP gambar itu mempunyai tanda-tanda ralat pada visual, manakala carian di Google mendapati ia dilabel sebagai 'buatan AI'. Datuk Bandar Suloszowa juga memberitahu syarikat penyiaran Poland bahawa imej itu tidak benar.

"Di tengah-tengah Poland, beberapa kilometer dari Krakow, terdapat sebuah kampung luar bandar yang kelihatan seperti lukisan -- Sułoszowa," bunyi kapsyen pada siaran Facebook yang dikongsi pada 12 Februari. 

"Jika dilihat dari bahagian atas, kampung ini menawarkan pemandangan yang cukup luar biasa: arteri tengah yang panjang dan linear sempurna, diapit oleh rumah-rumah yang tersusun rapi, seakan-akan mutiara yang diikat pada seutas benang".

Gambar dari pandangan atas itu menunjukkan sebatang jalan lurus dikelilingi oleh rumah dan padang hijau.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu Facebook diambil pada 6 Mac 2025

Beberapa komen pengguna media sosial itu dilihat percaya bahawa gambar itu tulen. 

"Cantiknya. Rumah yg tersusun sejajar dgn jalan raya," tulis seorang pengguna.

"Rugi tak gi lawat tempat ni masa lawat Krakow tahun lepas," kata pengguna lain. 

Imej bersama dakwaan serupa dikongsi di Facebook di sini dan di sini. Dakwaan itu turut dikongsi ribuan kali dalam bahasa lain -- termasuk bahasa Thai dan bahasa Inggeris.

Gambar itu, bagaimanapun, adalah hasil janaan kecerdasan buatan (AI).

Imej palsu

Hasil semakan AFP menerusi carian imej terbalik di Google mendapati gambar itu ditandakan sebagai "Buatan Google AI" pada fitur "Tentang gambar ini". 

Makmal DeepMind AI oleh Google melancarkan fitur SynthID pada 2023, sebuah alat untuk tera air digital dan mengenal pasti imej yang dibuat dengan Google AI (pautan arkib).

"Pengguna boleh mengenal pasti sama ada satu imej, atau sebahagian daripada imej itu, dijana peranti AI oleh Google melalui fitur 'Tentang Imej' ini dalam 'Carian' atau 'Chrome'," tulis laman webnya (pautan arkib).

Image
Tangkapan skrin Google Images, dengan label AI ditandakan AFP

Siwei Lyu, pengarah Universiti di Makmal Forensik Media Buffalo di Amerika Syarikat, juga memberitahu AFP bahawa imej itu mengandungi petunjuk visual imej yang dijana AI (pautan arkib).

"Imej ini disahkan sebagai hasil janaan AI melalui algoritma pengesanan kami," katanya kepada AFP pada 28 Februari.

"Satu tanda visual yang boleh dilihat ialah nisbah antara ketinggian rumah dan saiz bayang-bayang. Bagi rumah yang sama saiz (palang merah), bayang-bayang mereka (palang hijau) sangat berbeza."

Image
Bayang-bayang rumah dengan petunjuk yang tidak konsisten ditandakan dalam imej oleh Siwei Lyu

Gambar-gambar kampung itu yang diterbitkan dalam arkib AFP pada 2023 menunjukkan jalan utama berselerak di antara rumah-rumah disitu -- bukannya sebatang jalan yang lurus seperti dilihat dalam imej palsu itu. 

Datuk Bandar Suloszowa Stanislaw Gorajczyk juga memberitahu siaran televisyen awam Poland TVP3 Krakow bahawa gambar itu "sangat jauh daripada realiti" (pautan arkib).

"Saya terkejut dengan rupanya imej sedemikian boleh dijana," katanya. "Dalam satu sudut pandang, ia adalah sejenis publisiti, tetapi saya fikir ia adalah suatu publisiti yang negatif. Mereka yang akan datang secara fizikal ke sini akan melihat bahawa hakikatnya ia berbeza."

AFP menerbitkan tip tentang bagaimana cara mengenal pasti kandungan yang dijana AI.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami