
Video berita lama dikongsi dengan dakwaan keliru DAP 'jual kerakyatan' kepada warga China
- Diterbitkan pada hari Isnin 03/03/2025 pukul 09:29
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"beribu warga China memohon untuk mendapatkan kerakyatan, Cara licik DAP untuk menjajah negara Malaysia," bunyi kapsyen siaran TikTok yang dikongsi pada 23 Februari 2025.
Video itu menunjukkan satu laporan berita oleh The Star mengenai program di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan wawancara bersama ahli politik DAP Lim Lip Eng.
Menurut teks yang ditambah di bawah video temu bual bersama Lim itu, beliau kononnya berkata: "Ada mesej yang viral menganggap DAP beri ic. Saya beritahu DBKL saya sedih kerana ramai saudara saya dari China tidak dapat kerakyatan."
Teks dibawah video itu berbunyi: "Warga China berkumpul beli apa?"

AFP sebelum ini menafikan dakwaan palsu bahawa "berjuta rakyat China" diberi kewarganegaraan.
Dakwaan sama tersebar di TikTok di sini dan di sini, sehingga meraih lebih 167,000 tontonan serta siaran Facebook yang berkongsi pautan TikTok itu di sini dan di sini.
Tetapi video itu sebenarnya menunjukkan laporan berita pada 2018 mengenai mesej yang telah disalah tafsir dan menyebabkan orang ramai tanpa kerakyatan dan pemegang status penduduk tetap berpusu-pusu hadir ke pejabat DBKL bagi menukar status kewarganegaraan mereka.
Lim, ahli parlimen DAP yang ditemu bual dalam video itu, memberitahu AFP pada 27 Februari: "Ini adalah taktik klasik pembangkang yang cuba mengeksploitasi sentimen perkauman untuk kepentingan politik -- menyebarkan berita palsu untuk melaga-lagakan sesama kita."
Tiada pemberian kewarganegaraan
Seorang jurucakap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menafikan dakwaan salah itu di akaun TikTok rasmi jabatan itu pada 20 Februari (pautan arkib).
Jurucakap itu berkata JPN telah menyertai program anjuran DAP itu dan hanya memberikan taklimat mengenai proses permohonan kewarganegaraan.
"Tidak ada sama sekali melibatkan proses memberikan kewarganegaraan ataupun apa jua dokumen pengenalan diri di program tersebut," katanya dalam video tersebut.
Carian kata kunci Google mendapati jabatan itu turut menafikan dakwaan yang sama pada 2019 dan 2023 (pautan arkib di sini dan di sini).
"Video yang ditularkan tersebut merupakan video lama berkenaan mesej yang telah disalah tafsir ketika itu telah menyebabkan orang ramai yang tiada kerakyatan, pemegang kad pengenalan sementara dan pemegang kad pengenalan tetap berpusu-pusu hadir di pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi menukar status kewarganegaraan," tulis kenyataan yang dikeluarkan pada 2019 itu.
Carian imej terbalik selanjutnya membawa kepada satu video YouTube yang disiarkan oleh The Star pada 30 Jun 2018 (pautan arkib).
"Ratusan orang tanpa kerakyatan dan pemegang kad pengenalan merah dan hijau hadir ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan angapan mereka boleh menukar status kewarganegaraan," bunyi kapsyen video itu.
Menurut The Star, Lim telah mengajak orang tanpa kerakyatan untuk menghadiri satu taklimat anjuran JPN, tetapi undangan itu telah disalah tafsir dan tular di media sosial.

Sari kata ditambah pada video temu bual bersama Lim itu menunjukkan beliau mengakui terdapat "mesej salah yang tular di media sosial".
Bagaimanapun, Lim tidak mengatakan bahawa beliau berasa "sedih kerana ramai saudara saya dari China tidak dapat kerakyatan," seperti yang didakwa dalam siaran TikTok yang mengelirukan itu.
Laporan The Star itu juga tidak menyebut DAP "menjual" kerakyatan kepada warganegara China.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami