
Laporan tentang penutupan awal Ikea Malaysia untuk sehari disalah nyata
- Diterbitkan pada hari Selasa 11/03/2025 pukul 03:11
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Pelabur terus tarik keluar pelaboran akibat ringgit merosot dan kos hidup rakyat semakin tinggi, pelaburan asing semakin tidak yakin dgn PMX MALAYSIA," bunyi teks pelekat pada satu tangkapan skrin laporan berita dikongsi di TikTok pada 25 Februari.
"IKEA di Malaysia umum ditutup awal rabu ini," bunyi tajuk laporan itu.
Satu imej kecil bersama teks yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan juga diletakkan pada imej siaran itu. Siaran itu menyertakan tanda pagar yang berbunyi "kerajaan gagal" dan parti pembangkang "Perikatan Nasional".

Walaupun ekonomi negara dilaporkan mencatat pertumbuhan pada 2024, kebimbangan mengenai ekonomi dan kos sara hidup terus membelenggu Anwar, yang baru-baru ini mendapat kritikan kerana kerap melancong ke luar negara sambil mengabaikan isu-isu domestik (pautan arkib).
Imej serupa juga tersebar di TikTok di sini dan di sini, di mana ia telah dikongsi semula lebih daripada 2,000 kali.
Sesetengah pengguna TikTok memberi komen yang menunjukkan tajuk utama itu menyatakan penutupan awal waktu operasi hanya untuk satu hari, namun terdapat juga pengguna lain dilihat percaya dengan dakwaan siaran tersebut.
"Oversea trip ke 31 buah negara. Dlm setahun habis RM 44 juta. Tiba-tiba IKEA yg sedia ada ditutup," tulis seorang pengguna.
"Alahai…sampai IKEA pun terpaksa tutup," kata pengguna lain.
Bagaimanapun, setakat 10 Mac, tiada laporan yang boleh dipercayai melaporkan Ikea akan menarik pelaburan dari Malaysia secara kekal (pautan arkib).
Gabungan carian imej terbalik dan kata kunci di Google mendapati artikel itu diterbitkan oleh portal berita dalam talian Malaysia Dateline pada 24 Februari (pautan arkib).
Laporan itu, yang memetik siaran media sosial oleh Ikea, berkata cawangan syarikat perabut itu di Lembah Klang akan ditutup awal pada 26 Februari untuk meraikan kakitangannya.
Artikel itu tidak menyebut tentang Ikea "menarik pelaburan" dari pasaran negara ini.
Ikea Malaysia menyiarkan pengumuman itu di halaman Facebook rasminya pada 24 Februari, menyatakan gedung di cawangan Lembah Klang akan ditutup pada jam 6 petang pada 26 Februari (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami