
Pakar pediatrik beri amaran penggunaan 'udara haruman bawang' sebagai rawatan batuk
- Diterbitkan pada hari Selasa 11/03/2025 pukul 04:42
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Katanya Petua untuk hilangkan batuk anak-anak. Hiris bawang nipis-nipis buh kt kipas biar Kita hirup udara haruman bawang," bunyi kapsyen pada siaran Facebook yang dikongsi dalam satu kumpulan yang mempunyai lebih 200,000 ahli pada 21 Januari.

Petua itu telah beredar di media sosial sejak 2017 dan muncul semula pada 2019. Ia juga dikongsi semula di Facebook pada 2025.
Bagaimanapun, pakar pediatrik memberitahu AFP kaedah rawatan itu tidak disokong oleh sains dan kajian mengenai kesan-kesan menyedut udara haruman bawang untuk melegakan batuk adalah terhad dan tidak cukup kukuh.
Kajian saintifik terhad
"Kajian tentang kaedah khusus menyedut bau haruman atau wap dihasilkan bawang sebagai ubat untuk melegakan batuk mempunyai bukti saintifik yang terhad, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak," kata pakar perunding kanan pediatrik di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Norazlin Kamal Nor pada 12 Februari (pautan arkib).
Walaupun bawang mengandungi sebatian bioaktif yang sebelum ini terbukti mempunyai manfaat sebagai anti-radang dan anti-oksida, kajian itu tidak cukup kukuh untuk menyokong penggunaan haruman udara dari bawang untuk merawat batuk, kata Norazlin.
Penyelidikan sedia ada mengenai manfaat bawang telah dijalankan dalam tabung uji dan bukannya pada manusia dan tidak cukup kuat untuk menyokong sebarang penggunaan penyembuhan, kata Dr Faisal Mohd Fadzli, pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL (pautan arkib).
"Kebanyakkan daripada dakwaan 'bukti saintifik' ini merujuk kepada kajian-kajian yang melihat bahan kimia tertentu terkandung dalam bawang seperti kuersetin yang didapati mempunyai kesan anti-radang... ia bukan bukti yang cukup kukuh," katanya kepada AFP pada 6 Mac.
Kedua-dua pakar pediatrik itu menambah bahawa batuk, terutamanya yang kronik, boleh menjadi salah satu simptom kepada keadaan yang lebih serius pada kanak-kanak seperti asma dan jangkitan seperti batuk kering dan influenza.
Katanya, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat pengamal perubatan yang berlesen apabila batuk anak tidak pulih atau bertambah teruk.
AFP sebelum ini telah menyemak fakta mengenai petua-petua kesihatan yang lain seperti di sini dan di sini.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami