
Laporan media diambil luar konteks dalam siaran mengelirukan mengenai cukai minyak sawit mentah
- Diterbitkan pada hari 23/04/2025 jam 09:58
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Najmi Mamat, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Tangkapan skrin siaran Facebook oleh akhbar Utusan Malaysia telah dikongsi di X pada 23 Mac, dengan kapsyen "Malaysia baru setiap hari dapat hadiah".
Siaran akhbar itu berbunyi: "Perkenal cukai khas minyak sawit mentah." Manakala siaran X itu menyertakan satu pautan ke artikel dalam talian akhbar terbabit (pautan arkib).

Siaran serupa dengan dakwaan kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu itu turut dikongsi di tempat lain di Facebook.
Dakwaan itu muncul apabila negara dilaporkan mengalami kekurangan minyak masak dalam botol, yang dikaitkan dengan kenaikan harga minyak sawit mentah global dan dasar siling harga kerajaan yang menyukarkan pengilang untuk menampung kos operasi (pautan arkib).
Bagaimanapun, kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan cukai kepada pengeluar minyak sawit mentah tempatan untuk menangani kekurangan itu -- siaran Facebook Utusan Malaysia itu telah diambil di luar konteks (pautan arkib).
Tiada cukai baharu
Siaran asal itu menyertakan pautan laporan yang diterbitkan pada 23 Mac dengan cadangan yang dikemukakan oleh Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), sebuah NGO perlindungan pengguna (pautan arkib).
"Isu kekurangan bekalan minyak masak di pasaran yang berterusan membelenggu rakyat boleh diatasi menerusi pelaksanaan cukai khas RM100 bagi setiap satu tan metrik minyak sawit mentah (MSM) kepada semua pengeluar tempatan," tulis laporan itu.
"Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, Malaysia mengeluarkan kira-kira 20 juta metrik tan minyak setahun dan jika dikenakan cukai RM100 setiap satu metrik tan, kerajaan mampu memperoleh RM2 bilion setahun."
Laporan itu tidak menyatakan sebarang komen atau respon daripada pihak berkuasa mengenai cadangan itu.
Seorang jurucakap Kementerian Kewangan memberitahu AFP pada 16 April bahawa kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk memperkenalkan cukai baharu dalam masa terdekat.
Kementerian itu membuat pengumuman serupa pada Disember 2024, menyatakan kerajaan buat masa ini akan menumpukan pada pelaksanaan langkah-langkah cukai yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 (pautan arkib). Kenyataan itu masih terpakai, kata jurucakap itu.
Barangan makanan asas dikecualikan daripada cukai jualan seperti yang diumumkan dalam belanjawan, walaupun kerajaan mengenakan cukai ke atas gula untuk memerangi penyakit diabetes di negara ini (pautan arkib).
Setakat 22 April 2025, tiada laporan yang boleh dipercayai melaporkan bahawa kerajaan bercadang untuk mengenakan cukai ke atas minyak sawit mentah.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami