
Gambar kesan gempa bumi di Myanmar ini hasil janaan AI
- Diterbitkan pada hari 15/04/2025 jam 10:40
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Gambar selepas gempa bumi di Myanmar," tulis kapsyen pada gambar dikongsi di Facebook sehari selepas gempa melanda negara itu.
Imej itu menunjukkan pemandangan dari udara sebuah bandar yang musnah dengan runtuhan-runtuhan rumah dan menara pagoda juga kelihatan dari jauh.

Imej itu juga dikongsi oleh akaun Facebook lain. Ia juga disiarkan dalam bentuk klip video yang dikongsi dalam bahasa Cina, Inggeris dan Indonesia susulan media melaporkan gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud melanda bandar Mandalay.
Ketua junta Min Aung Hlaing berkata pada 1 April bahawa seramai 2,719 orang disahkan terkorban, dengan lebih 4,500 cedera dan 441 masih hilang (pautan arkib).
Beratus-ratus kilometer daripada Myanmar, pihak berkuasa Bangkok pula berkata angka kematian di sana meningkat kepada 20, sebahagian besar terkorban apabila bangunan pencakar langit 30 tingkat yang sedang dalam pembinaan di ibu negara Thailand itu runtuh.
'Buatan Wan AI'
Carian imej terbalik di Google menemui video yang hampir sama di platform X pada 29 Mac. Walaupun kapsyennya tidak secara langsung menunjukkan klip itu dihasilkan menggunakan AI, logo alat generatif Wan AI dapat dilihat di penjuru kanan sebelah bawah rakaman berkualiti tinggi itu (pautan arkib).

Keralatan visual juga mencadangkan bahawa video itu dijana menggunakan alat AI, menurut para pakar.
Shu Hu, ketua Makmal Forensik Media dan Pembelajaran Mesin Universiti Purdue di Amerika Syarikat, memberitahu AFP pokok dalam klip itu tidak mempunyai akar yang boleh dilihat sementara seorang individu yang sedang berjalan dengan cara yang tidak konsisten dengan gerakan semula jadi manusia (pautan arkib).
Siwei Lyu, pengarah Universiti di Makmal Forensik Media Buffalo di Amerika Syarikat, menyatakan klip asal itu mengandungi tera air Wan AI dan berkata bayang-bayang objek dalam klip itu tidak konsisten dari segi arah dan saiznya (pautan arkib).

Tiada kaedah yang mudah untuk mengesan media yang dijana AI tetapi mengenal pasti tanda-tanda tidak konsisten pada visual tersebut boleh membantu kerana ralat masih wujud walaupun terdapat kemajuan mendadak dalam AI generatif.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami