Saintis tolak dakwaan 'struktur gergasi' di bawah piramid Mesir

Siaran media sosial yang mendakwa bahawa "struktur bawah tanah besar" ditemui di bawah piramid Giza di Mesir adalah tidak berasas, kata pakar dalam bidang itu. Siaran itu tersebar selepas tiga ahli penyelidik dari Itali yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kaji purba Mesir atau arkeologi membuat dakwaan tersebut dalam satu video YouTube.

"Apa yang mereka temui adalah sesuatu yang menakjubkan, 5 struktur besar berhampiran dasar piramid, dihubungkan dengan laluan geometri," bunyi sebahagian kapsyen Facebook pada 24 Mac 2025. 

"Setiap satu mengandungi 5 aras mendatar dan bumbung bercerun. Di bawah ini terdapat 8 telaga silinder menegak, berongga dan dikelilingi oleh turunan berpilin menjatuhkan 648 meter ke dalam bumi."

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 17 April 2025

Siaran itu tular di media sosial selepas tiga ahli penyelidik -- Corrado Malanga, Armando Mei and Filippo Biond -- mengadakan satu sidang media di YouTube pada 22 dan 23 Mac.

Mereka mendakwa dengan menggunakan teknologi radar apertur sintetik, mereka menemui "sebuah kompleks bawah tanah yang sangat besar" di bawah Piramid Khafre di Giza. 

Siaran serupa tersebar di tempat lain di Facebook dan dalam pelbagai bahasa, termasuk Jerman, Arab dan Turki. Tabloid British Daily Mail turut menyiarkan dakwaan itu.

Namun, pakar memberitahu AFP, kajian yang dijalankan tiga penyelidik tersebut tidak berasas. 

"Piramid adalah struktur batu monumental, dibina di atas dataran rata," kata Jean-Guillaume Olette-Pelletier, doktor kajian purba Mesir di Universiti Paris-Sorbonne (pautan arkib). "Mereka kemudiannya digali atau ditukar untuk dijadikan ruang pengebumian, tetapi tidak ada bukti rangkaian bawah tanah wujud seperti dakwaan yang tersebar."

Walaupun mendapat kritikan, Biondi memberitahu AFP bahawa mereka tetap mempertahankan penemuan mereka.

"Istilah mustahil tidak terpakai apabila bukti objektif muncul," katanya dalam e-mel kepada AFP pada 22 April. "Data satelit kami menunjukkan kehadiran struktur buatan yang besar di bawah Dataran Tinggi Giza, struktur yang nampaknya milik tamadun yang tidak diketahui yang dirujuk dalam mitos purba di seluruh dunia."

'Fakta rekaan'

Arkeologi menggunakan teknik seperti magnetometri, yang boleh menganalisis kedalaman tanah tiga hingga lima meter, bergantung kepada sifatnya (pautan arkib).

Namun, kajian yang dijalankan tiga penyelidik tersebut tidak berdasarkan "sebarang data saintifik yang sah," kata Olette-Pelletier.

Zahi Hawass, ahli arkeologi dan bekas menteri purbakala Mesir, turut menyangkal dakwaan itu dalam kenyataan 26 Mac (pautan arkib di sini dan di sini).

"Dakwaan yang mencadangkan kewujudan tiang di bawah Piramid Khafre hanyalah rekaan yang disebarkan oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran dalam tamadun Mesir purba atau sejarah piramid itu," katanya.

Image
Pelancong menaiki kereta kuda melawat piramid Khafre atau Chephren Giza, di pinggir ibu kota Mesir di Kaherah, pada 25 Februari 2025 (AFP / Hasan MROUE)

Tiada penyelidik telah menggunakan peranti radar di dalam piramid tersebut, tambah Hawass.

"Tiada bukti saintifik untuk menyokong dakwaan ini, dan tiada misi arkeologi sedang bekerja di dalam Piramid Khafre."

NASA menggunakan teknologi radar apertur sintetik (SAR) yang disebut oleh penyelidik tersebut untuk memetakan permukaan Bumi, tetapi Lawrence Conyers dari Universiti Denver berkata ia tidak dapat mengesan struktur yang terletak beberapa ratus meter di bawah tanah (pautan arkib).

"Gelombang radar secara beransur-ansur melemah di dalam tanah. Adalah mustahil untuk mencapai kedalaman sedemikian dengan teknik ini," kata pakar radar itu.

NASA juga mengesahkan bahawa SAR "memberikan imej terperinci bumi" tetapi "tidak direka untuk menyiasat kedalaman yang melampau" (pautan arkib).

Tiada latar belakang arkeologi

Tiga penyelidik Itali yang mengemukakan penemuan ini tidak mempunyai latar belakang dalam bidang kaji purba Mesir atau arkeologi. Kajian mereka juga tidak diterbitkan dalam mana-mana jurnal saintifik yang boleh dipercayai.

Malanga ialah seorang penyelidik yang bergabung dengan Universiti Pisa di Itali, tetapi bidang pengkhususannya ialah kimia organik dan ufologi -- kajian tentang UFO.

Biondi, yang digambarkan sebagai penyelidik di Universiti Strathclyde di Scotland, bukan lagi sebahagian daripada institusi itu. Beliau kini mengendalikan syarikat pengimejan radar persendirian Harmonicsar, menurut siaran di LinkedIn.

Mei pula mengkaji bidang sains politik dan memperkenalkan dirinya sebagai penyelidik dan wartawan arkeologi bebas, menurut akaun LinkedInnya.

Beliau adalah pengarang beberapa buku yang mempertahankan teori pseudo-arkeologi, termasuk dakwaan Bukit Visoko di Bosnia dan Herzegovina bukanlah formasi semula jadi, tetapi piramid purba yang dibina oleh manusia. Komuniti saintifik dan arkeologi telah menyangkal teori itu (pautan arkib).

AFP sebelum ini telah menyangkal siaran palsu tentang piramid di sini

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami