
Minyak masak cap Kanggaru diiktiraf halal oleh JAKIM
- Diterbitkan pada hari 16/05/2025 jam 07:00
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"MINYAK MASAK CAP KANGAROO NI TDK HALAL... AMBIL PERHATIAN YA...", bunyi siaran Facebook pada 21 April 2025.
Siaran itu berkongsi satu tangkapan skrin yang menunjukkan paket minyak masak cap Kanggaru. Teks pelekat pada tangkapan skrin itu memberi amaran kepada orang ramai agar tidak membeli minyak masak jenama itu kerana tidak halal.
Ia juga mendakwa bahawa seorang penyelia di sebuah kedai runcit mengarahkan perkerja menjual minyak itu walaupun ia tidak halal.
"Ni la perangai Cina," tambah siaran itu.

Dakwaan mengenai minyak masak cap Kanggaru disiarkan di sini, termasuk dalam kumpulan yang mempunyai lebih 77,000 pengikut.
AFP sebelum ini telah menafikan dakwaan serupa yang menyasarkan jenama minyak masak lain, sosej, pengeluar minuman dan rangkaian kopi antarabangsa Starbucks.
Carian kata kunci mendapati syarikat pengeluar minyak itu telah menyangkal dakwaan keliru yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan pada 22 April di Facebook, Mico Trading Co berkata logo halal tidak dicetak atas paket minyak tersebut kerana ia masih menunggu kelulusan daripada Jakim (pautan arkib).
Syarikat itu berkata ia memohon pensijilan halal pada 6 Mac 2024. Selepas menerima sijil halal pada 14 April 2025, logo halal telah dicetak pada paket mintak masak tersebut.
"Mico Trading Co ingin menegaskan bahawa bahan mentah yang digunakan dalam minyak masak paket cap Kanggaru adalah daripada sumber yang halal dan memiliki sijil halal yang sah.
"Kami kekal komited untuk memastikan kebersihan, kualiti, dan pematuhan halal di premis kami."
AFP mengesahkan kesahihan kenyataan itu dengan pemilik syarikat dalam satu panggilan telefon pada 15 Mei.
Portal Halal Malaysia juga menunjukkan Mico Trading Co mempunyai sijil halal yang sah sehingga April 2027 (pautan arkib di sini dan di sini).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami