Seorang doktor menyuntik vaksin di Quimper, barat Perancis pada 31 Oktober 2017. (AFP / FRED TANNEAU)

Tiada bukti mengaitkan vaksin dengan kematian bayi secara mengejut: pakar

Vaksin dipantau dengan rapi dan tidak dapat dikaitkan secara saintifik dengan sindrom kematian bayi mengejut (SIDS), kata pakar perubatan, bertentangan dengan dakwaan yang tular di media sosial. Siaran salah itu memaparkan video yang berasal daripada kumpulan yang sering menyebarkan maklumat palsu berkenaan vaksin. 

Dakwaan yang mengaitkan SIDS -- kematian seorang bayi yang sihat secara tiba-tiba dan tidak dijangka -- dikongsi dalam siaran Facebook pada 25 April 2025.

Siaran itu memetik Dr Paul Thomas sebagai berkata "97% kanak-kanak meninggal dunia akibat SIDS 10 hari selepas mendapat vaksin".

Ia juga mendakwa bayi yang mengambil vaksin mengikut jadual berisiko mati, maklumat yang diketahui "selama beberapa dekad". Tambah siaran itu, "kematian akibat suntikan vaksin bayi lebih ramai dari kematian akibat penyakit". 

Petikan itu diambil daripada temu bual Thomas dengan Children's Health Defense, sebuah kumpulan yang diketahui sering menyebarkan maklumat palsu berkaitan vaksin (pautan arkib). 

Dalam klip tersebut, Thomas berkata: "Ia benar-benar jelas, anda mendapat vaksin, bayi anda mati."

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, ditangkap pada 19 Mei 2025

Siaran serupa juga disiarkan di sini dan di sini

Namun Thomas, yang membuat dakwaan mengaitkan vaksin dengan SIDS, telah digantung lesen oleh lembaga perubatan Oregon selepas menemui bukti dia telah "melanggar amalan perubatan yang berkaitan dengan vaksin", menurut laporan media Amerika Syarikat (pautan arkib).

"Lembaga Perubatan Oregon mengambil langkah luar biasa selepas menyemak bukti yang mendakwa Thomas membimbing pesakitnya untuk tidak mengikuti jadual vaksinasi kanak-kanak -- dan pesakit mungkin mengalami penyakit yang boleh dicegah vaksin akibatnya," baca laporan itu.

Thomas secara sukarela menyerahkan lesennya pada 2022 (pautan arkib).

AFP juga telah berulang kali menafikan dakwaan serupa yang mengaitkan vaksinasi dengan SIDS.

Perlindungan vaksin 

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan Agensi Kesihatan Awam Kanada, punca utama SIDS tidak diketahui tetapi vaksin bukan salah satu puncanya (pautan di sini dan di sini)

Akademi Pediatrik Amerika juga berkata tiada bukti untuk mengaitkan immunisasi dengan SIDS, tetapi "vaksin mungkin mempunyai kesan perlindungan terhadap SIDS" (pautan arkib).

Pakar kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Norazlin Kamal Nor memberitahu AFP bahawa SIDS biasanya dilaporkan ketika bayi berumur sekitar dua hingga empat bulan, ini boleh digunakan untuk mengelirukan orang ramai  kerana  vaksin kanak-kanak  diberikan pada umur tersebut (pautan arkib di sini dan di sini).

Norazlin berkata beberapa kajian telah menunjukkan tiada kaitan konklusif antara vaksin dan SIDS, yang menurutnya boleh dikurangkan dengan mengelak "persekitaran tidur yang tidak selamat" seperti tidur di atas perut dan tempat tidur yang lembut.

Beliau menyeru ibu bapa supaya tidak terpedaya dan memberi vaksin kepada anak-anak mereka mengikut jadual untuk mengelakkan penyakit berjangkit yang serius.

"Pengurangan kadar vaksinasi juga boleh menyebabkan kehilangan imuniti kumpulan dalam komuniti dan meningkatkan risiko jangkitan seperti campak," tambahnya.

Badan antarabangsa seperti Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dan agensi kesihatan seperti CDC mengesyorkan agar bayi dan kanak-kanak diberi vaksin sebelum mereka terdedah kepada penyakit yang mengancam nyawa (pautan arkib di sini dan di sini).

Mereka juga menegaskan bahawa vaksin melalui ujian keselamatan yang ketat, termasuk ujian klinikal, sebelum ia diluluskan untuk pihak umum (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami