Video menunjukkan kebakaran di Mumbai, bukan serangan Pakistan ke atas India

Video letupan lori membawa silinder gas di Mumbai, India, dikongsi di media sosial dengan dakwaan salah ia menunjukkan serang balas Pakistan terhadap India pada Mei 2025. Video itu sebenarnya tular pada bulan Mac, sebelum negara jiran yang bersenjata nuklear itu bersetuju menghentikan serangan rentas sempadan dalam konflik paling teruk antara India dan Pakistan sejak 1999. 

"Pakistan serang balas india", bunyi kapsyen siaran Facebook pada 7 Mei 2025. 

Video yang ditonton lebih 600,000 kali itu menunjukkan letupan sebuah lori dan usaha memadamkan api, manakala teks pelekat pada video itu berkata "Pakistan Zindabad".

Image
Tangkapan skrin siaran Facebook palsu, diambil pada 14 May 2025

Klip itu tular di Facebook dan Instagram selepas Pakistan melancarkan serangan balas terhadap India selepas negara itu telah menyerang "kem pengganas" di Pakistan pada 7 Mei (pautan arkib di sini dan di sini).

Serangan itu diikuti dengan pertempuran sengit selama empat hari yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang di kedua-dua belah pihak sehingga Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata pada 10 Mei (pautan arkib).

Konflik antara dua negara jiran itu dicetuskan oleh serangan maut ke atas pelancong di kawasan Kashmir yang ditadbirnya pada 22 April. New Delhi menuduh Islamabad menyokong serangan itu -- tuntutan yang ditolak oleh Pakistan.

Namun, video yang tular itu diambil sebelum konflik antara negara jiran itu bermula. 

Carian imej terbalik di Google membawa ke klip serupa yang dikongsi oleh Times of India di X pada 25 Mac (pautan arkib)

"Kebakaran besar di Dharavi Mumbai selepas kebocoran silinder gas LPG di atas trak yang membawa beberapa silinder," bunyi kapsyen siaran itu.

Dalam laporan asing, akhbar India itu berkata kebakaran berlaku di depoh bas Dharavi di lingkaran Sion-Dharavi berdekatan sebuah taman (pautan arkib di sini dan di sini)

Seorang penduduk di kawasan tersebut menghantar AFP gambar yang menunjukkan lampu jalanan dan hiasan di sepanjang lingkaran itu. 

Image
Perbandingan lampu jalan yang dilihat dalam video yang dikongsi secara palsu (kiri) dan foto yang diambil oleh penduduk tempatan (kanan)

Saluran berita India ABP Majha menerbitkan lebih banyak rakaman kebakaran tersebut dalam laporannya di YouTube pada 24 Mac (pautan arkib).

Konflik antara India dan Pakistan mencetuskan pelbagai maklumat salah dalam talian yang disangkal oleh AFP di sini.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami