
Siaran keliru dakwa kerajaan mansuh subsidi LPG
- Diterbitkan pada hari 10/06/2025 jam 07:34
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Raevathi SUPRAMANIAM, AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Kerajaan gila. Subsidi gas utk peniaga ditarik tak fikir ke rakyat. Peniaga-peniaga kecil ni sampai malu nak naikkan harga jualan lagi setelah ke sekian kali kos perniagaan meningkat," bunyi siaran Facebook pada 2 Jun 2025.

Siaran itu tular selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pelaksanaan Ops Gasak selama lima bulan bermula 1 Mei bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan LPG bersubsidi oleh sektor komersial dan perindustrian, serta penyelewengan melalui aktiviti haram "decanting" (pautan arkib).
Berita pelaksanaan Ops Gasak mendapat reaksi negatif daripada ahli politik. Seorang ahli parlimen berkata peniaga kecil mungkin akan menaikkan harga manakala seorang ahli politik pembangkang berkata ia umpama "rompakan" oleh kerajaan.
Siaran serupa juga disiarkan di sini dan juga dalam kumpulan Facebook yang mempunyai lebih daripada 35,000 ahli.
Ramai yang meninggalkan komen yang menunjukkan mereka diperdaya oleh siaran keliru itu. Ada yang berkata: "Kerajaan sekarang bukan membantu rakyat tetapi menambah beban".
Seorang lagi berkata: "Kerajaan dah melampau".
Namun, tiada operasi dijalankan oleh kerajaan yang menyasarkan peniaga kecil.
Tiada pemansuhan, pemotongan subsidi
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata pada 3 Jun fokus utama Ops Gasak adalah bagi membanteras aktiviti haram "decanting", penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana (pautan arkib).
"Melalui operasi ini, tidak ada sebarang dasar dan peraturan baru, apatah lagi pemotongan serta pemansuhan subsidi LPG sebagaimana didakwa pihak tertentu," katanya.
Menurut KPDN, peniaga kecil yang tidak menggunakan lebih daripada tiga tong gas sehari masih boleh menggunakan tong gas bersubsidi manakala mereka yang melebihi had tersebut perlu memohon permit.
Jabatan Penerangan juga menjelaskan isu tersebut dalam satu siaran Facebook pada 31 Mei (pautan arkib).
Pengerusi Persatuan Penjaja Pulau Pinang, Ooi Thean Huat memberitahu AFP bahawa peniaga kecil di negeri itu lazimnya hanya memerlukan sehingga tiga tong gas sehari.
Kata Ooi, jika peniaga diminta tukar kepada tong gas tanpa subsidi, ia tidak akan menyebabkan harga makanan naik.
"Jika kita menggunakan tong gas tidak bersubsidi, dua tong sehari cukup. Tidak akan ada perubahan pada harga makanan kerana tong gas tanpa subsidi lebih besar isipadu."
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami