
Siaran palsu dakwa syarikat penerbangan tambang rendah guna kerusi berdiri pada 2026
- Diterbitkan pada hari 12/06/2025 jam 09:11
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Dounia MAHIEDDINE, AFP Perancis
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Berita mengenai kerusi berdiri atau stand-up seats yang dikhabarkan akan diperkenalkan oleh syarikat penerbangan tambang murah (LCC) antarabangsa seperti Ryanair, VivaColombia atau Wizz Air bukan perkara baharu," bunyi siaran Facebook pada 3 Jun 2025.
Siaran palsu itu juga menyertakan tangkapan skrin akhbar Kosmo bertajuk "Kerusi berdiri dalam pesawat".

Siaran palsu itu tersebar selepas akhbar British Daily Mail menerbitkan satu artikel pada 21 Mei 2025 yang berkata kerusi berdiri merupakan "masa depan" industri penerbangan (pautan arkib).
Menurut laporan yang disiarkan, kerusi berdiri SkyRider yang direka oleh Aviointeriors, boleh menambah kapaciti penumpang sebanyak 20 peratus.
Siaran serupa disiarkan di sini dan di sini.
Namun Aviointeriors berkata dalam siaran Instagram pada 23 Mei "kerusi berdiri" tersebut hanya prototaip yang diperkenalkan pada 2012 (pautan arkib).
"Direka bentuk sebagai respon kepada salah satu cabaran paling mendesak industri penerbangan, sambil memaksimumkan ruang dan ergonomik ia tidak sepatutnya diambil serius," katanya.

Semakan di laman web Aviointeriors juga menunjukkan tempat duduk berdiri SkyRider bukan sebahagian daripada katalog syarikat itu (pautan arkib).
Ketika dihubungi AFP, EASA mengesahkan bahawa ia tidak menerima permohonan untuk membenarkan penggunaan kerusi tersebut dalam pesawat komersial.
"Kerusi sedemikian akan menimbulkan cabaran teknikal, terutamanya dari segi kecemasan," katanya kepada AFP. Tambahnya, reka bentuk fiuslaj pesawat juga tidak membenarkan penumpang berdiri berhampiran tingkap.
"Mana-mana syarikat penerbangan yang ingin memperkenalkan tempat duduk sedemikian akan menghadapi cabaran besar, baik dari segi konfigurasi semula pesawat, pematuhan keperluan keselamatan atau pelan pemindahan kecemasan."
Syarikat penerbangan tambang rendah Ireland Ryanair memberitahu AFP ia tidak mempertimbangkan penggunaan kerusi tersebut.
Namun, Michael O'Leary, CEO syarikat itu berkata pada 2009 dia tiada isu dengan memperkenalkan kerusi berdiri dalam pesawat tetapi kemungkinan besar Kesatuan Eropah tidak akan membenarkannya atas faktor keselamatan.
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami