
Siaran keliru dakwa garam biasa dikenakan SST
- Diterbitkan pada hari 26/06/2025 jam 05:27
- Dikemas kini pada hari 26/06/2025 jam 06:51
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Garam biasa dikecualikan daripada perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bertentangan dengan siaran di media sosial yang mendakwa segala jenis garam akan dikenakan cukai, termasuk air laut agar orang ramai tidak dapat membuat garam sendiri. Namun, kerajaan berkata hanya garam premium akan dikenakan cukai SST manakala "air laut" pula merujuk kepada larutan garam yang digunakan dalam sektor farmaseutikal.
"CERTOT HARI INI Garam biasa akan kena SST. Untuk elakkan orang buat garam sendiri utk lari dari SST, air laut akan dikenakan SST," bunyi siaran Facebook pada 15 Jun 2025.

Siaran itu juga dikongsi di sini dan di sini.
Bermula 1 Julai 2025, skop SST akan diperluaskankepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan, kecantikan, kewangan dan pembinaan (pautan arkib).
Bahan makanan premium dan ikan salmon serta buah-buahan import akan dikenakan cukai antara lima hingga 10 peratus.
Namun, garam biasa dan bahan keperluan harian seperti gula, roti putih dan mi dikecualikan menurut senarai Kementerian Kewangan yang diterbitkan pada 9 Jun (pautan arkib di sini dan di sini).
Beninder Singh, timbalan presiden Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, juga menafikan siaran dalam talian itu.
"Untuk sebarang maklumat, kita harus bergantung kepada pengumuman rasmi kerajaan," katanya sambil menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu.
Johan Mahmood Merican ketua setiausaha perbendaharaan di Kementerian Kewangan dalam wawancara dengan radio The Business Station (BFM) pada 18 Jun berkata hanya garam premium akan dikenakan cukai manakala garam biasa dikecualikan (pautan arkib).
Beliau juga menjelaskan bahawa air laut yang tersenarai dalam skop SST baharu merujuk kepada larutan garam yang digunakan dalam sektor farmaseutikal.
"Jadi jika anda pergi ke pantai dan mencedok air laut, itu sudah tentu ia tidak tertakluk kepada cukai jualan."
Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami