
Ini video nahas pesawat Nepal pada 2023, bukan 'rakaman terakhir sebelum Air India terhempas'
- Diterbitkan pada hari 25/06/2025 jam 07:01
- Durasi bacaan 2 minit
- Oleh: Devesh MISHRA, Ei SAN, Ara Eugenio, AFP India, AFP Thailand, AFP Filipina
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
Sebuah pesawat menuju ke London terhempas di kawasan perumahan di bandar Ahmedabad pada 12 Jun 2025 mengorbankan sekurang-kurangnya 265 nyawa anak kapal dan orang ramai di darat. Selepas kejadian tersebut, siaran lama yang menunjukkan nahas pesawat di Nepal dikongsi dengan dakwaan salah ia merupakan rakaman terakhir sebelum pesawat Air India terhempas.
"Rakaman terakhir penumpang Air India yang terhempas mengorbankan 242 orang penumpang termasuk anak kapal," bunyi siaran Facebook pada 12 Jun 2025 yang meraih lebih daripada 280,000 tontonan.
Hanya seorang penumpang dalam Boeing 787-8 Dreamliner yang dikendalikan oleh Air India terselamat dalam nahas maut yang menyaksikan pesawat itu terhempas atas sebuah bangunan asrama kolej perubatan (pautan arkib).

Siaran sama juga disiarkan di sini dan di sini. Ia juga tular dalam bahasa Hindi.
Namun, video yang tular itu tiada kena mengena dengan tragedi pesawat Air India.
Carian imej terbalik membawa kepada laporan berita mengenai pesawat terhempas di Nepal pada Januari 2023 (pautan arkib).
Pesawat Yeti Airlines yang berlepas dari Kathmandu menuju ke Pokhara terhempas ketika cubaan mendarat sehingga mengorbankan seramai 72 orang penumpang (pautan arkib).
Menurut akhbar The Guardian, polis tempatan dan rakan kepada penumpang yang merakam video tersebut, mengesahkan identitinya dan beberapa individu lain dalam rakaman itu (pautan arkib).

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami