Siaran palsu dakwa UAE hantar bantuan kemanusiaan ke Israel

Video sebuah pesawat mendarat dan bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke dalam kapal tidak menunjukkan bantuan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada Israel, bertentangan dengan dakwaan yang tular di media sosial. Sebahagian klip palsu itu sebenarnya menunjukkan penerbangan pertama Etihad Airways dari Abu Dhabi ke Tel Aviv manakala video yang lain menunjukkan bantuan kecemasan dihantar oleh UAE ke Libya selepas negara itu dilanda banjir teruk pada 2023.

Klip berdurasi 35 saat itu bermula dengan menunjukkan pesawat Etihad Airways mendarat di sebuah lapangan terbang sebelum beralih kepada klip yang menunjukkan bantuan kecemasan dengan pelekat "UAE Aid" dimasukkan ke dalam sebuah kapal terbang.

"Bantuan makanan dihantar oleh negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari Dubai terus kepada Tel Aviv, Israel untuk disalurkan kepada rakyat Israel yang terjejas perang," bunyi siaran Facebook pada 21 Jun 2025 yang telah ditonton lebih 459,00 kali.

 Siaran itu juga mengkritik UAE kerana menghantar bantuan ke Israel ketika "Gaza tak cukup makan".

Teks pelekat dalam bahasa Ibrani pula berkata video itu menunjukkan bekalan perubatan yang dihantar oleh UAE ke Israel.

Pada 2020, UAE dan Israel menandatangani perjanjian damai yang disaksikan oleh Amerika Syarikat (pautan arkib).

UAE juga mempunyai hubungan rapat dengan sekutu utama Israel, Amerika Syarikat, dengan Presiden Donald Trump melawat ibu negara itu sebagai lawatan beliau ke timur tengah.

Image
Tangkapan skrin siaran palsu yang diambil pada 25 Jun 2025 dengan palang merah ditambah oleh AFP

Video palsu itu tular ketika Iran dan Israel berperang selepas Israel melancarkan serangan terhadap tapak nuklear Iran pada 13 Jun. Menurut kementerian kesihatan Iran, setakat ini seramai 610 orang awam telah terkorban manakala Israel berkata seramai 28 telah terbunuh (pautan arkib). 

Pada 21 Jun, AS menggugurkan enam bom "bunker buster" ke atas kemudahan nuklear Iran. Sejurus itu, Iran pula melancarkan serangan balas terhadap pangkalan udara Al Udeid di Qatar (pautan arkib). 

Kedua-dua negara tersebut akhirnya bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 24 Jun.

Siaran itu turut dikongsi di Threads dan Tiktok. Setakat ini, tiada laporan berita yang mengesahkan UAE telah menghantar bantuan ke Israel.

Klip tidak berkaitan

Carian imej terbalik membawa kepada laporan berita akhbar Jordan Roya News pada 6 April 2021 yang menunjukkan imej yang serupa dengan siaran palsu (pautan arkib). 

Menurut laporan itu, imej itu menunjukkan penerbangan komersial pertama dari Etihad Airways dari Abu Dhabi ke Tel Aviv.

AFP turut menyiarkan klip yang serupa dengan kapsyen yang menyatakan ia menunjukkan pesawat Etihad mendarat di Israel (pautan arkib). 

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu (kiri) dan video AFP (kanan)

Bahagian kedua klip palsu itu pula sepadan dengan video yang diterbitkan oleh AFP pada 13 September 2023. Ia menunjukkan bantuan kemanusiaan sedia dihantar dari UAE ke Libya (pautan arkib). 

UAE menghantar bantuan tersebut selepas Libya meminta bantuan antarabangsa ketika negara itu dilanda banjir yang mengorbankan beribu orang awam (pautan arkib). 

Image
Perbandingan tangkapan skrin klip palsu (kiri) dan video AFP (kanan)

AFP sebelum ini telah menafikan beberapa dakwaan palsu lain berkaitan konflik Iran-Israel.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?

Hubungi kami

Artikel berkaitan