
Klip lama disalah kaitkan dengan tragedi bot karam di Ha Long Bay
- Diterbitkan pada hari 24/07/2025 jam 09:09
- Dikemas kini pada hari 24/07/2025 jam 09:14
- Durasi bacaan 3 minit
- Oleh: Chayanit ITTHIPONGMAETEE, AFP Thailand
- Terjemahan dan adaptasi Raevathi SUPRAMANIAM , AFP Malaysia
Hak Cipta © AFP 2017-2025. Sebarang penggunaan kandungan ini untuk tujuan komersial perlu melalui langganan. Klik di sini untuk lebih lanjut.
"Sekurang-kurangnya 30 terbunuh dan beberapa lagi hilang selepas sebuah bot pelancong terbalik semasa ribut petir di Teluk Ha Long, Vietnam, pada Sabtu," bunyi siaran Instagram pada 21 Julai 2025.
Tambah siaran itu: "Menurut mangsa terselamat, Bot Wonder Sea yang membawa kira-kira 50 penumpang itu karam dalam masa kurang seminit."
Video yang menunjukkan sebuah bot dipukul angin dan hujan lebat sebelum ia condong ke kanan dan terbalik disertakan dengan siaran itu.
Seramai 35 orang disahkan meninggal apabila bot pelancong itu terbalik ketika ribut pada 19 Julai dalam tragedi paling teruk yang pernah berlaku di Ha Long Bay (pautan arkib).

Pengarah Pusat Kebangsaan bagi Ramalan Hidrometeorologi Vietnam berkata ribut yang melanda utara Vietnam bukan disebabkan oleh pengaruh Ribut Tropika Wipha di Laut China Selatan.
Klip sama juga disiarkan di Instagram dan juga di Threads. Ia juga dikongsi dalam siaran bahasa Thai dan Burma.
Namun carian imej terbalik di Google menunjukkan video itu disiarkan pada 2024 dan dikaitkan dengan ribut lain.
Video itu disiarkan oleh akaun Facebook rasmi saluran media Vietnam VTC News pada 7 September 2024 dengan kapsyen "Bot pelancong terbalik di Teluk Ha Long" (pautan arkib).

Saluran media Vietnam lain turut menyiarkan video itu dalam laporan berita pada 7 dan 8 September 2024 ketika membuat liputan Taufan Yagi (pautan arkib di sini dan di sini)
Taufan itu meragut sekurang-kurangya 197 nyawa di Vietnam selepas ia membawa angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh. Ribuan lagi terpaksa dipindahkan selepas ribut itu mengganggu laluan eksport merentasi delta Sungai Merah (pautan arkib).
Shipwreck Log, blog yang mendokumentasikan kejadian bot karam dan kemalangan maritim melaporkan beberapa bot rosak atau karam selepas Taufan Yagi melanda Vietnam. Laporan itu turut menyertakan video dalam siaran palsu yang menunjukkan bot berwarna hitam dan putih karam (pautan arkib).
Bot pelancong yang karam pada Julai 2025 pula berwarna biru dan putih. Gambar bot itu juga diterbitkan oleh AFP.

Adakah terdapat kandungan yang anda mahu AFP semak fakta?
Hubungi kami